suria

Lebih RM26 Juta Saman Trafik Warga Asing Masih Tertunggak

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji tindakan sesuai terhadap pemilik kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak yang kini mencecah lebih RM26 juta, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Rabu.

Menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, sejak lima tahun lepas terdapat 263,265 saman bagi pelbagai kesalahan trafik membabitkan warga asing dengan nilai saman berjumlah RM26,326,500.

Menjawab soalan oleh anggota yang sama, Lee berkata pelantikan ejen kutipan saman trafik oleh kementeriannya adalah bagi memudahkan orang ramai menjelaskan saman mereka tanpa perlu membanjiri pejabat polis daerah.

"Perkara ini tidak membebankan rakyat memandangkan caj perkhidmatan yang dikenakan ejen berkenaan ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Sebagai contoh, katanya, Pos Malaysia Berhad yang dilantik sebagai ejen kutipan saman trafik mengenakan kadar caj perkhidmatan RM2 bagi setiap transaksi manakala caj bagi bayaran saman melalui portal www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my ialah sebanyak 1.8 peratus daripada jumlah pungutan bagi bayaran melalui kad kredit dan RM0.50 setiap transaksi bagi bayaran secara kad debit. - BERNAMA

Artikel Lain