suria

Kerajaan Sedia Panduan Sektor Swasta Tubuh Pusat Asuhan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menyediakan satu buku panduan untuk rujukan sektor swasta yang ingin menubuhkan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja, kawasan perumahan dan kawasan komuniti mengikut kesesuaian masing-masing, Dewan Negara diberitahu pada Rabu.

Timbalan menteri berkenaan, Datuk Maznah Mazlan berkata, buku panduan bertajuk 'Garis Panduan Pusat Asuhan Kanak-Kanak oleh Majikan Di Sektor Swasta' akan membantu majikan mewujudkan kemudahan itu serta mematuhi peraturan.

"Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah asing, Kementerian Sumber Manusia merancang beberapa pendekatan antaranya langkah mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak di kawasan industri bersesuaian dengan tanggungjawab sosial korporat dalam usaha mewujudkan masyarakat prihatin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit mengenai mekanisme pelaksanaan Dasar Pekerja Domestik Tempatan untuk mengisi keperluan dan permintaan majikan bagi pembantu rumah tempatan ekoran masalah yang wujud untuk mendapatkan pembantu rumah dari negara sumber seperti Indonesia, Filipina, Kemboja dan negara-negara lain.

Maznah berkata, kementerian juga telah membuat persediaan untuk melatih tenaga kerja tempatan dalam bidang domestik dengan menyediakan Standard Kemahiran Pekerjaan Nasional sebagai panduan untuk mencapai tahap kecekapan atau kompetensi melaksanakan satu-satu tugas dalam pekerjaan.

"Dengan adanya standard ini, tenaga kerja tempatan boleh dilatih dan dengan persijilan ini dapat membina keyakinan di kalangan majikan dan menjadikan pekerjaaan pembantu rumah sebagai satu pekerjaan yang dihormati," katanya.

Namun, katanya, sambutan daripada rakyat tempatan untuk bekerja sebagai pembantu rumah tidak memberansangkan walaupun terdapat beberapa syarikat swasta tempatan yang ditauliah oleh kementerian untuk melatih tenaga tempatan di dalam bidang itu.

"Kementerian akan terus mempertingkat usaha untuk menjadikan pembantu rumah satu pekerjaan yang diminati dan dihormati melalui tindakan penjenamaan semula pekerjaan pembantu rumah dengan memberi nama yang lebih sesuai, dan menyediakan bidang tugas, struktur gaji yang setimpal untuk perkhidmatan yang ditawarkan secara penuh masa, harian atau sambilan," katanya.

Untuk memantapkan pendekatan yang akan diambil, kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja sedang melaksanakan kajian mengenai penceburan rakyat tempatan dalam bidang pekerja domestik, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain