suria

Individu Dakwa Dirinya ‘Imam Mahadi’ Dipercayai Sakit Mental - Ketua Polis KL

KUALA LUMPUR: Individu yang mendakwa dirinya ‘Imam Mahadi’, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, yang mati ditembak polis dipercayai mengalami sakit mental, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh.

Mohmad berkata, Khalil turut dipercayai terlibat dalam ajaran sesat dan polis sedang menyiasat apakah ajaran yang dianutinya itu.

Siasatan awal berdasarkan blog milik Khalil seolah-olah menunjukkan bahawa dia aktif terlibat dengan ajaran itu.

“Kami masih belum mendapatkan kaitannya termasuk siapakah pemimpinnya dan berapa ramai pengikut yang menganuti ajaran itu,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Beliau berkata, masih terlalu awal bagi polis untuk mengulas lanjut dan meminta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Khalid atau ajaran tersebut.

Khalil dan seorang wanita berjalan menuju ke kompleks Jabatan Perdana Menteri dan melibaskan pedang samurainya pada Isnin.

Bagi tempoh setengah jam berikutnya, mereka melawan seorang anggota polis, menyerang beberapa yang lain dan cuba memecahkan beberapa kenderaan sebelum polis melepas tembakan terhadap kedua-duanya bagi menahan mereka.

Khalil kemudiannya meninggal dunia di hospital dan wanita itu masih menerima rawatan.

Mohmad turut mempertahankan tindakan pegawai-pegawainya yang melepaskan tembakan di lengan dan kaki supaya melepaskan senjata berkenaan.

Tindakan itu bukan satu cubaan untuk menembak mati kedua-duanya.

Mohmad berkata, polis sedang meneliti dua pedang samurai dan pisau pemotong daging yang diukir dengan tulisan jawi.

“Kami akan menunggu keputusan bedah siasat untuk menentukan punca kematian,” kata beliau.

Artikel Lain