suria

Exco Arah Tangguh Peraturan Asing Pasangan Bukan Muhrim Di Pawagam

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor pada Selasa mengarahkan agar pelaksanaan peraturan untuk memisahkan kedudukan lelaki dan wanita yang belum berkahwin ketika menonton wayang ditangguhkan sehingga kajian menyeluruh mengenainya selesai.

Sambil mengakui tidak mengetahui mengenai kewujudan peraturan baru berkenaan, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata arahan penangguhan mengenainya sudah diberikan kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

"Perkara ini tidak dilaporkan atau tidak dirujuk kepada kerajaan negeri. Kita hanya tahu perkara ini selepas membaca laporan akhbar.

"Selangor memang ada banyak panggung wayang tetapi tiada satu tempat pun ada peraturan begini," katanya pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai garis panduan baru yang diperkenalkan MDKS terhadap pengunjung panggung wayang milik Lotus Five Star Cinemas bertempat di pusat membeli-belah 1 Plaza.

Garis panduan itu mengkehendaki pengunjung lelaki dan wanita yang belum berkahwin agar diasingkan kedudukan tempat duduk ketika menonton wayang.

Mengulas lanjut Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran berkata isu berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat penuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Saya ingin menegaskan bahawa di Selangor kita tidak menggalakkan apa-apa polisi ataupun akta yang berunsur 'double standard'

"Kalau satu peratruran yang dianggap baik dilaksanakan di sesuatu PBT...ia akan dilaksanakan di PBT lain, kita ingin mengelakkan 'double standard'," katanya.

Artikel Lain