suria

Datuk Jaga Teksi Di Depan Pintu Masuk KLCC

KHABARNYA seorang bekas usahawan bergelar 'Datuk' yang kesnya akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dari 16-27 Julai ini, kini sedang bekerja sebagai tukang buka pintu teksi di pintu masuk utama KLCC.

'Datuk' ini didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikatakan cuba menipu seorang lagi 'Datuk' melibatkan wang berjumlah RM1.755 juta.

Penulis pada mulanya sukar menelan kenyataan ini tetapi hasil daripada pemerhatian sendiri, akhirnya penulis dapati, cakap-cakap itu benar.

Seperti tidak percaya, penulis sendiri bersama seorang lagi rakan telah memandu kereta sehingga ke hadapan pintu masuk utama KLCC (mengadap Jalan Ampang) Sabtu lepas di mana teksi-teksi masuk untuk menurunkan penumpang dan juga mengambil penumpang.

Sebaik sahaja menghampiri tempat di mana teksi berhenti, tiba-tiba 'Datuk' ini muncul dengan wajah 'trademark' nya yang suka tersenyum lebar (ketika dihadapkan ke mahkamah juga dia tersenyum lebar di hadapan kamera para jurugambar), mengarahkan agar penulis memandu kereta ke hadapan sedikit kerana teksi hendak masuk.

Dan ketika dia menundukkan mukanya di sisi cermin tingkap kereta, penulis pun turut merenung betul-betul wajahnya untuk memastikan apakah benar dia 'Datuk' yang dimaksukan oleh khabar angin itu.

Ya sah memang dia.

Penulis melihat dengan mata sendiri bagaimana 'Datuk' ini yang memakai baju lengan pendek ala batik membuka pintu teksi dan mengangkat bag penumpang untuk diletakkan di belakang but teksi.

Dia melakukan kerja itu bersungguh-sungguh tanpa disuruh atau tanpa diarahkan oleh mandor.

Setahu penulis, dia adalah perunding projek dengan nilai projek berjuta-juta ringgit dan bukannya peniaga pondok teksi atau pun pemilik syarikat teksi.

Tidak pernah penulis tahu yang dia adalah pengusaha pondok teksi di KLCC.

Jadi apakah yang dibuatnya jaga teksi dan buka pintu teksi di situ? Apakah dia jatuh susah sehingga begitu rupa sekali? Takkan seorang yang bergelar 'Datuk' dah jadi kuli kot?

Bermacam-macam persoalan bertubi-tubi menerjah masuk ke dalam otak penulis mengenangkan apa yang penulis lihat pada hari itu.

Penulis jadi kasihan melihat dia berlari-lari anak memanggil teksi, membuka pintu teksi dan mengangkat bag penumpang masuk ke dalam teksi.

Tak perlu dan tak layak dia buat kerja tu semua. Tapi itu pun dia lakukan dengan wajah yang tersenyum sepertimana yang dia selalu senyum ketika kesnya disebut di mahkamah.

Artikel Lain