suria

Wanita PKR Hadapi Cabaran Tentukan Calon - Zuraida

PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih berdepan dengan cabaran untuk mengetengahkan calon-calon berpotensi yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun proses mengenal pasti calon berkelayakan sudah di peringkat akhir, terdapat tiga kriteria penting yang diutamakan dalam pemilihan tersebut.

Menurut beliau, selain mengambil kira tahap pendidikan seseorang calon, tiga kriteria penting itu termasuklah kesetiaan kepada parti, penglibatan bersama parti di peringkat akar umbi dan cara berinteraksi dengan rakyat.

"Kita amat mementingkan sikap setia kepada parti kerana tidak mahu mana-mana calon lompat parti seperti yang berlaku sebelum ini. Kita ingin mengawal sikap sedemikian," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, pihaknya menyasarkan antara 15 hingga 20 peratus calon wanita pada pilihan raya akan datang, peningkatan ketara berbanding kurang 10 peratus calon pada PRU-12.

"Pimpinan tertinggi PKR amat terbuka dengan cadangan ini. Malah, kita menyediakan latihan profesional seperti cara meningkatkan interaksi dengan rakyat dan mengurus parti dengan baik kepada bakal calon," katanya.

Jelas beliau, sekurang-kurangnya dua calon akan ditempatkan di setiap negeri manakala lebih daripada dua calon di Perak, Selangor dan Sabah kerana mempunyai pilihan calon dan keanggotaan yang ramai.

"Kita sudah ada perancangan teliti untuk setiap bakal calon. Insya-Allah semua calon yang diturunkan nanti berpotensi besar mencatatkan kemenangan 100 peratus," katanya.

Pada masa sama, Zuraida tidak menolak kemungkinan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang pada pilihan raya umum akan datang.

"Berdasarkan sokongan yang ditunjukkan penduduk-penduduk di sini, peluang untuk menang itu amat cerah. Saya amat yakin. Ampang kini sudah jauh berubah berbanding ketika dibawah teraju Barisan Nasional," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai hasrat Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempertimbangkan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Zuraida berkata, beliau akan sentiasa menyokong apa jua keputusan yang dibuat.

"Sebagai presiden parti, beliau (Dr Wan Azizah) berhak memilih untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN. Kerusi mana yang akan ditandingi, itu keputusan beliau. Saya menyokong segala keputusan beliau," katanya.

Artikel Lain