suria

Polis Selamatkan Wanita Mangsa Samun, Tahan Seorang Lelaki

JOHOR BARU: Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita mangsa samun selepas menahan seorang lelaki bersenjatakan pistol di Jalan Tampoi Lama, di sini, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata lelaki berumur 35 tahun itu ditahan kira-kira sejam selepas melarikan wanita ahli perniagaan itu bersama keretanya di kawasan Taman Sentosa, di sini.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam pukul 3.15 pagi, yang menyatakan lelaki itu telah melarikan mangsa bersama kereta jenis Mini Cooper milik mangsa.

"Ketika itu, bumbung kereta terbabit sedang terbuka dan lelaki berkenaan dipercayai melompat masuk ke dalam kenderaan itu sebelum memecut melarikan mangsa bersama kenderaan terbabit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Selasa.

Ismail berkata polis kemudian menghebahkan maklumat yang diterima kepada semua unit yang sedang bertugas sebelum berjaya mengesan dan menahan kereta terbabit di jalan berkenaan.

Beliau berkata penyiasatan mendapati wanita yang berasal dari ibu negara itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pada lelaki itu polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver.38 bersama tiga butir peluru.

Katanya, lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

Dalam kes lain, Ismail berkata polis menahan seorang lelaki berumur 42 tahun yang disyaki memiliki peluru dan komponen pistol palsu yang dileraikan dalam satu serbuan pada pukul 4.30 petang, di Taman Larkin Idaman, di sini, juga pada hari Jumaat.

"Pada lelaki itu polis merampas satu kotak berisi satu rantai peluru yang berisi 57 butir kelonsong peluru mesingan jenis GPMG, komponen pistol tiruan yang telah dileraikan berupa tiga kelopak, alat penyenyap, hulu senjata, bahagian pemegang, laras M4 dan bebola besi yang turut dijadikan peluru pistol tiruan," katanya.

Ismail berkata lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. - BERNAMA

Artikel Lain