suria

MCA Dedah Satu Lagi Kontroversi Urusan Tanah Di Danau Putra

KUALA LUMPUR: MCA mendedahkan satu lagi kontroversi perjanjian melibatkan kerajaan negeri Selangor dan Talam Corporation Bhd iaitu empat plot tanah di Danau Putra, Sepang dipercayai bernilai RM87.7 juta.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, satu plot tanah yang diperolehi pada harga RM43.3 juta telah ditenggelami air sepenuhnya.

"Tiga lagi plot tanah, sebahagian daripadanya turut ditenggelami air," katanya pada sidang media, Selasa.

Chua mendakwa keseluruhan tanah yang ditenggelami air itu dilelong pada harga RM15 juta, iaitu RM28.3 juta lebih rendah berbanding harga yang dibayar oleh kerajaan Selangor kepada Talam.

"80% kawasan itu ditenggelami air. Plot A (bernilai RM18.3 juta), dua pertiga tanahnya ditenggelami air, Plot B (RM43.3 juta) ditenggelami air sepenuhnya manakala separuh tanah di plot C dan D (RM26 juta) turut ditenggelami air," katanya.

Chua mendakwa, kerajaan Selangor memperoleh empat plot tanah itu pada 12 Mac lalu.

"Plot B dilelong pada 7 September 2010, susulan iklan di akhbar harian bahasa Inggeris," katanya.

Artikel Lain