suria

Lanun Saman Kapal Tunda Penyelenggaraan Petronas Carigali Di Perairan Miri

MIRI: Enam lanun dipercayai warga asing menyamun 13 anak kapal termasuk kapten sebuah kapal tunda yang menjalankan tugas penyelenggaraan bagi Petronas Carigali dengan melarikan barangan samun dianggarkan berjumlah RM82,000, Ahad.

Pegawai Penyiasat Kanan Daerah Miri Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Left Maritim Fairusnizan Abdul Razak berkata kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam di 14 batu nautika dari pantai Tanjung Lobang, Miri.

Bagaimanapun, kesemua 13 mangsa yang kesemuanya warga tempatan tidak dicederakan.

"Lanun tersebut menggunakan bot laju serta menyamun menggunakan parang panjang dan bertopeng," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Beliau berkata kejadian seumpama itu adalah yang pertama berlaku di perairan Miri, pada tahun ini.

Fairusnizan berkata antara barang yang disamun ialah wang tunai, komputer riba, tablet, walkie-talkie, telefon bimbit dan makanan milik anak-anak kapal.

Beliau berkata semasa kejadian, kapal tersebut dipercayai dalam perjalanan balik dari sebuah pelantar minyak di perairan itu. - BERNAMA

Artikel Lain