suria

Isu Air: Sikap Kerajaan Selangor Dipersoal

SHAH ALAM: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada Selasa mempersoalkan sikap kedegilan kerajaan negeri berhubung isu bekalan air bersih di Selangor.

Datuk Mohd Isa Abu Kassim (BN-Batang kali) mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang sehingga kini tidak membenarkan Kerajaan Pusat membina Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bersih di Selangor.

Beliau yang mencelah ketika perbahasan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 menyifatkan kerajaan negeri sekadar mencari helah kononnya pembinaan loji itu akan meningkatkan tarif air di negeri ini.

"Apa salahnya kerajaan negeri benarkan pembinaan loji rawatan air berkenaan bagi menambahkan bekalan air bersih di negeri ini.

"Jika kerajaan negeri mengaitkan mengenai kenaikan (tarif) air, kerajaan negeri ada hak untuk menentukan kadar tarif itu memandangkan kerajaan negeri menerusi KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) mempunyai 30 peratus saham dalam Syabas," katanya.

Tambah Mohd Isa, beliau turut mempertikaikan sikap kerajaan negeri dalan isu berkenaan yang dilihat seolah-olah beriya-iya untuk mengagalkan pembinaan loji rawatan berkenaan.

"Saya hairan mengapa kerajaan negeri bermati-matian berdegil mengenai isu loji rawatan berkenaan. Apakah motifnya dan adakah udang di sebalik batu atau kerajaan negeri mahu merampas pakej berkenaan," katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri tidak faham mengenai isu sebenar mengenai masalah bekalan air di Selangor kerana ia berkaitan sumber air bersih bukannya air mentah.

Artikel Lain