suria

Dua Bekas Ahli Lembaga Pengarah Bebas Tuduhan Di Bawah Akta Koperasi

KUALA LUMPUR: Dua bekas ahli Lembaga Pengarah Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad pada Selasa dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan mengikut Akta Koperasi 1993, empat tahun lepas.

Hakim, Datuk Rozana Ali Yusoff mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lee Wei Onn, 45, dan Md Sarip Salleh, 51, di akhir kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Lee dan Md Sarip didakwa telah menerima pinjaman daripada bakal anggota Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad sebanyak RM500,000 dengan menggunakan baucer bayaran atas nama koperasi sebelum koperasi itu didaftarkan secara sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat Bawah, 1 dan 2, Blok A, Setiawangsa Business Suites, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa antara 5 April hingga 23 Mei 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 10A(1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10A(2) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa menjalankan kutipan pelaburan atas nama Units@Neocyber dengan menjanjikan bayaran dividen sehingga 16 peratus setahun dan sebanyak 15 peratus setahun melalui pelaburan 'Gold Members' kepada anggota koperasi walaupun koperasi itu tidak mempunyai aktiviti yang boleh menjana pendapatan.

Mereka didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tempat yang sama antara 13 Ogos 2008 hingga 30 Mac 2009.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 45(1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 45(4) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM200,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanim Abdul Rahman telah mengemukakan seramai 17 saksi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad. - BERNAMA

Artikel Lain