suria

Kontraktor Parah Ditetak Dengan Pedang Ketika Minum

BESUT: Seorang kontraktor cedera parah ditetak dengan pedang setelah diserang lima lelaki ketika minum bersama dua rakannya di sebuah restoran di Kampung Raja, di sini malam Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pukul 7.15 malam itu, mangsa yang berumur 28 tahun cedera parah di kepala dan tangan kanan manakala dua rakannya sempat melarikan diri.

"Ketika mangsa sedang minum bersama dua rakannya, tiba-tiba suspek meluru keluar dari dua buah kereta dan seorang daripadanya bertindak menetak mangsa menggunakan pedang.

"Dua rakan mangsa yang tidak dapat berbuat apa-apa melarikan diri dan melaporkan kejadian di Balai Polis Kuala Besut. Mangsa yang pengsan dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Noor Zainy berkata pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengetahui motif serangan tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan tiga lelaki yang dipercayai mencuri wang tabung dua buah masjid di Kampung Raja dan Jerteh, minggu lepas dan semalam.

Katanya dalam kejadian semalam, lelaki berumur 34 tahun yang merupakan penduduk tempatan di Kampung Raja, ditahan di kawasan masjid kampung berkenaan kira-kira pukul 4 pagi dan polis menemui peralatan pecah rumah dan wang tunai RM74, dipercayai diambil daripada tabung masjid itu.

Beliau berkata dua lagi suspek berumur 18 dan 23 tahun berasal dari Dungun dan Rompin, Pahang ditahan ketika sedang mencuri wang daripada tabung sebuah masjid di Jerteh, 2 Julai lepas. - BERNAMA

Artikel Lain