suria

'Keldai Dadah' Selamat Pulang

K.Punithamani, 55, (kanan) yang ditahan pihak berkuasa Peru kerana menjadi "keldai dadah" ditemu bual wartawan semasa tibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Peru, di Sepang, Isnin.
K.Punithamani, 55, (kanan) yang ditahan pihak berkuasa Peru kerana menjadi
K.Punithamani, 55, (kanan) yang ditahan pihak berkuasa Peru kerana menjadi "keldai dadah" ditemu bual wartawan semasa tibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Peru, di Sepang, Isnin.

SEPANG: Seorang wanita yang ditahan pihak berkuasa Peru kerana menjadi 'keldai dadah', selamat pulang ke tanah air, Isnin.

K.Punithamani, 55, yang ditemui sejurus tiba di KLIA, dilihat gagal menahan sebak dan air mata kerana dapat menjejakkan kaki semula di negara ini

"Saya amat gembira. Saya ingat saya tidak akan kembali lagi ke Malaysia. Saya ingat saya akan mati di Peru," katanya sambil berterima kasih kepada Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Muhd Khairun Aseh atas usaha membawa beliau pulang.

Punithamani dihukum penjara enam tahun kerana membawa sejumlah dadah pada 2007, namun selepas beberapa kali mengemukakan rayuan, dia dibebaskan namun dikenakan parol pada 2010.

Beliau bagaimanapun berjaya dibebaskan sepenuhnya minggu lepas atas usaha biro terbabit dan Kementerian Luar.

Sementara itu, Muhd Khairun berkata Punithamani, dari Kuala Lumpur, merupakan mangsa sindiket pengedaran dadah yang berpangkalan di Segambut.

Beliau berkata Punithamani dijanjikan pekerjaan dalam bidang kosmetik serta barangan kemas oleh warga Nigeria dan dihantar ke Sepanyol untuk berurusan berkaitan perniagaan itu, sebelum dibawa ke Peru.

Di Peru, beliau dipaksa membawa sebuah beg ke Itali sebelum pihak berkuasa di Lapangan Terbang Peru menahannya apabila mendapati ia mengandungi kokain.

Punithamani berkata dia sengsara ketika berada dalam tahanan kerana keadaan penjara sesak dan makanan yang tidak elok.

"Saya menasihatkan kepada golongan wanita terutamanya agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak, terutama warga Nigeria, dan berhati-hati sekiranya diminta untuk memegang atau membawa beg atau bungkusan orang lain," katanya yang tidak sabar untuk memulakan hidup baru di negara ini dengan memulakan perniagaan sendiri seperti menjual kek dan masakan Peru.

Sementara itu, Muhd Khairun berkata beliau yakin polis dapat menumpaskan sindiket terbabit setelah pihaknya memberi segala maklumat yang diperlukan.

Beliau turut meminta kerajaan berhati-hati ketika mengeluarkan permit kepada warga Afrika serta memperketat penguatkuasaan terhadap mereka yang menyalah guna pas masuk dengan menjalankan kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah. - BERNAMA

Artikel Lain