suria

Kanak-Kanak Pulang Bercuti Ditemui Lemas Di Sg Linggi

LINGGI: Mayat Mohd Afzan Haikal Mohd Nazri, 7, yang terjatuh ke dalam Sungai Linggi di belakang rumah peninggalan neneknya di Pengkalan Kempas, dekat sini semalam, ditemui pagi Ahad.

Mayat kanak-kanak itu ditemui terapung oleh anggota pasukan mencari dan menyelamata kira-kira dua kilometer dari tempat dia terjatuh.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Abd Wahab Harun ketika dihubungi, berkata usaha mencari dan menyelamat dilancar selepas polis menerima laporan kejadian pukul 6.30 petang Sabtu.

Operasi dilakukan tanpa henti sehinggalah mayat ditemui pukul 1 petang tadi, katanya. Anak sulung dari tiga beradik itu dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai tersebut ketika bermain di sekitar kawasan rumah, sejurus tiba bersama keluarga dari Pasir Gudang, Johor, kira-kira pukul 4 petang Sabtu.

Kehilangan Mohd Afzan Haikal hanya disedari ibu bapa mangsa kira-kira pukul 5.30 petang selepas seorang jiran memberitahu mereka mengenai kesan tergelincir di tepi sungai tersebut.

Jenazah kanak-kanak itu dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, di sini. -BERNAMA

Artikel Lain