suria

Warga Emas Maut Ditetak Jiran

TAIPING: Seorang lelaki warga emas mati ditetak jirannya adalah antara tiga kes bunuh yang berlaku di tiga daerah di Perak dalam tempoh 24 jam sejak malam sabtu.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dalam kejadian di Taman Changkat, Kampar pada pukul 9.20 malam semalam, Wong Cheong Heng, 73, meninggal dunia akibat ditetak di bahagian pinggang dan kepala menggunakan sebilah parang oleh jirannya yang juga warga emas.

Beliau berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Difahamkan perselisihan faham antara mereka telah lama berlaku dan semalam mereka berbalah dan isunya masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri 'Hari Kesedaran Jenayah dan Tinjauan Mesra' anjuran Polis Diraja Malaysia Kontinjen Perak di sini, Ahad.

Beliau berkata polis telahpun menahan suspek yang berusia 62 tahun itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, dalam kejadian lain di Kuala Kangsar, seorang pengawal keselamatan sebuah kilang getah di Jalan Taiping menembak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke kawasan kilang berkenaan.

Mohd Shukri berkata dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi ini, pengawal keselamatan berkenaan menembak lelaki berumur 46 tahun itu yang dipercayai ingin mencuri di kilang berkenaan.

"Kawasan itu pernah dimasuki pencuri dan atas rasa takut dia telah melepaskan tembakan," katanya.

Beliau berkata polis menahan pengawal keselamatan itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian lain di Jalan Tupai, Taiping, seorang pemilik kedai perabot, Ong Chee Leong, 58, mati ditikam dengan pisau oleh seorang daripada empat perompak yang memasuki kedai itu pada pukul 10.30 pagi ini.

"Berlaku pertelingkahan antara mereka dan mangsa telah ditikam," katanya.

Katanya polis sedang memburu keempat-empat suspek. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain