suria

Pemuda MIC Yakin Temui Lebih 100,000 Pengundi Sebelum PRU13

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan yakin dapat menemui lebih 100,000 pengundi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang melalui program 'Ops Jelas'.

Ketua Pemuda MIC T. Mohan berkata Pemuda MIC akan memberi penjelasan kepada masyarakat India di negara ini segala salah faham dan tuduhan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan.

"Pemuda MIC akan turun padang dan berjumpa dengan masyarakat India dalam kumpulan yang kecil bagi menjelaskan kepada mereka sumbangan dan peruntukan kerajaan (kepada pembangunan masyarakat India)," kata Mohan semasa sidang media di sini, Ahad.

Katanya 'Ops Jelas' memberi peluang kepada masyarakat untuk bertanyakan soalan mengenai segala salah faham mereka selama ini terhadap kerajaan.

"Program ini dijalankan untuk mencari dan mengumpul pengundi MIC yang sebenar bagi memenuhi persediaan kami sebelum pilihan raya, " katanya. Dalam masa yang sama, Pemuda MIC juga sedang menjalankan program berlandaskan pentas politik lain yang melibatkan artis tempatan dan ceramah politik, 'BN My Choice', yang membincangkan isu-isu semasa negara.

"Melalui program 'BN My Choice' kami telah berjumpa masyarakat India dari seluruh negara dan mendapat sokongan yang memberangsangkan sepanjang program itu dijalankan," katanya.

Program yang bermula pada awal bulan lepas turut disertai hampir 70,000 masyarakat India dan fasa kedua program 'BN My Choice' bakal bermula selepas 20 Julai ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain