suria

Pemandu Lori Tembikai Dirempuh Lori Meninggal Dunia

MARANG: Selepas hampir 11 jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu akhirnya peniaga tembikai yang dirempuh oleh sebuah lori semalam menghembuskan nafasnya yang terakhir malam Sabtu.

Mangsa, Mohd Hamzah Ismail, 51, meninggal dunia kira-kira pukul 9.23 malam di HSNZ setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan dada.

Dalam kejadian pada kira-kira 10.50 pagi itu, peniaga tembikai itu tersepit dalam lorinya apabila dirempuh oleh sebuah lori lain di Kampung Pulau Kerengga.

Ketika itu mangsa hendak menurunkan bekalan tembikai yang baru dibelinya daripada pembekal di Kampung Serting, dekat sini. Bagaimanapun semasa mangsa merapatkan kenderaanya ke bahu jalan di depan gerainya, beliau telah dirempuh oleh sebuah lori lain dari belakang sebelum lori mangsa terbabas melanggar sebatang pokok yang berada di tempat kejadian. Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu kira-kira satu jam, sebelum pasukan bomba dapat mengeluarkan mangsa.

Menurut isteri mangsa Normah Abd Razak, 49, berkata pada masa itu beliau berada di gerai berkenaan bersama anak dan cucunya dalam jarak kira-kira dua meter dari tempat kejadian.

Dia terkejut dengan bunyi yang kuat dan secara tiba-tiba lori suaminya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori lain, menyebabkan lori suaminya melanggar sebatang pokok.

"Akibat rempuhan itu suami saya tersepit di tempat duduk pemandu manakala buah tembikai hampir 400 kilogram tercampak keluar dan bertaburan di atas jalan. "Saya hanya mampu menjerit meminta tolong daripada orang ramai yang ada di situ," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata, pemandu lori yang merempuh mangsa sebelum melarikan diri itu telah membuat laporan di Balai Polis Marang petang semalam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain