suria

Floria 2012 Catat RM2Juta Hasil Jualan

PUTRAJAYA: Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria) 2012 berjaya mencatat jualan kasar sebanyak RM2 juta melalui jualan bunga-bungaan, tanaman hiasan, produk kraftangan serta makanan sepanjang sembilan hari festival itu yang berakhir pada Sabtu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata festival itu berjaya menarik 800,000 pengunjung telah melawat festival itu yang bermula 30 Jun lepas.

Katanya lebih 200 aktiviti disediakan termasuk 50 geral komersil, 60 gerai laman seni dan 40 gerai makanan dan minuman disediakan kali ini.

"Floria bukan sahaja suatu pameran bunga-bungaan hidup, malah festival yang dapat mewujudkan peluang ekonomi dan perniagaan kepada para usahawan, sekali gus merangsang pertumbuhan industri bunga-bungaan, landskap dan pelancongan," katanya semasa merasmikan penutupan Floria 2012 di Persisiran Tasik Presint 2 di sini, Ahad.

Selain meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memulihara flora, Raja Nong Chik berkata festival itu juga adalah penjenamaan terbaik untuk mengangkat nama Putrajaya ke pentas antarabangsa.

"Ia juga mencatat sejarah tersendiri tahun ini apabila 10 pereka taman antarabangsa menyertai festival ini dan menjadi juri pertandingan," katanya.

Bertemakan 'Bunga Kertas Tetap Menawan,' Floria Putrajaya 2012 mempamerkan lebih 400,000 pokok dari pelbagai spesis dan kultivar bunga-bungaan dan tanaman hiasan dari kawasan tropika dan subtropika.

Beliau berkata Floria Putrajaya 2013 akan diadakan pada 22 hingga 30 Jun tahun depan dengan bertemakan Orkid, iaitu tema yang sama semasa tahun kedua festival itu dianjurkan pada 2009. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain