suria

Dua Anggota Polis Ditahan Miliki Dan Positif Dadah

KUALA TERENGGANU: Dua anggota polis ditahan awal pagi Ahad kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine (pil kuda) dan syabu, di Paka, Dungun.

Kedua-dua anggota itu, masing-masing lans koperal dan koperal, ditahan kira-kira pukul 2.45 pagi di hadapan sebuah kedai oleh anggota polis Paka yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata anggota polis yang berusia 31 tahun terbabit bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan Pahang manakala seorang lagi berusia 26 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Selangor.

Kedua-dua mereka ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Persona yang diletak di hadapan sebuah kedai makan dan hasil pemeriksaan awal, kedua-dua suspek tidak mempunyai barang yang salah, katanya kepada Bernama.

Hasil siasatan awal, katanya polis juga mendapati anggota polis yang bertugas di IPK Pahang itu telahpun digantung kerja berdasarkan kad kuasa warna merah yang ditemui di dalam kereta berkenaan. "Siasatan lanjut ke atas kenderaan yang dinaiki dua anggota terbabit, polis menjumpai satu kotak kecil dipercayai dadah jenis syabu kira-kira 6 gram serta 27 biji pil kemerahan dipercayai pil kuda yang disorok di dalam bonet," katanya.

Hamzah berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-kedua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Hamzah berkata polis turut menjalankan siasatan lanjut sama ada mereka terbabit dengan kes jenayah lain. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain