APMM Selamatkan Pemancing Daripada Bot Hampir Karam - Semasa | mStar

APMM Selamatkan Pemancing Daripada Bot Hampir Karam

JOHOR BARU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan sembilan orang termasuk tujuh pemancing selepas bot dinaiki mereka hampir karam dipukul ombak di muara Sungai Sedili Besar, dekat Kota Tinggi pada Sabtu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata turut diselamatkan ialah tekong dan awak-awak bot yang membawa tujuh pemancing terbabit.

APMM menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang pemancing pada pukul 6.29 pagi dan hasil maklumat itu APMM menggerakkan sebuah bot laju yang sedang melakukan operasi laut di kawasan berhampiran ke lokasi kejadian, katanya dalam kenyataan, di sini Ahad.

Katanya siasatan awal mendapati kumpulan pemancing tersebut baru sahaja meninggalkan Jeti Sedili Besar apabila mendapati keadaan laut berombak besar ketika tiba di muara sungai berkenaan.

Mereka cuba berpatah balik namun bot tersebut dipukul ombak besar ketika membuat pusingan, katanya.

Mereka yang diselamatkan ialah tekong bot Johari Ngah, 59, awak-awak Mohd Haszlan Selamat, 29, dan pemancing iaitu Mohd Abdul Rashid Mohamed, 27; Md Zaidi Mokhtar, 35; Md Zaiful Mohktar, 27; Mohd Yasin Kalyubi, 27; Mohd Fauzan Tarmin, 27; Mohd Hafiz Hisham, 30 serta Azwar Anas Mashhar, 23. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain