suria

Wanita Umno Diminta Gandakan Usaha Bantu BN Hadapi PRU13

KUALA TERENGGANU: Pergerakan Wanita Umno meminta semua ahlinya supaya sentiasa peka dan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat sepanjang masa dan bukan hanya pada musim pilihan raya umum sahaja.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat mengingatkan semua anggota dan pimpinan pergerakan itu bahawa perjuangan mendekati rakyat bukan bermusim.

Justeru itu, beliau menyeru jentera wanita menggandakan usaha bagi membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Shahrizat berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemantapan Jentera Jalinan Rakyat Pergerakan Wanita Umno negeri Terengganu di sini, Sabtu.

Beliau turut berpuashati dan memuji jentera pergerakan Wanita Umno Terengganu yang proaktif dalam membuat bancian terkini data pemilih sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum itu.

"Sehingga kini mereka mendahului banci rakyat di negeri lain. Ia perkembangan menarik yang mana sudah 97 peratus pengundi di negeri ini telah dibanci.

"Malah saya juga sudah minta jentera wanita komponen BN dan Umno bekerja rapat dengan badan-badan bukan kerajaan serta orang perseorangan untuk pengumpulan data itu selain membantu parti pada pilihan raya nanti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahrizat berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti iaitu Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pembahagian kerusi untuk Wanita Umno pada pilihan raya umum nanti.

Katanya apa yang penting, Wanita Umno memainkan peranan sebagai jentera parti yang berkesan dan mampu membantu parti mengekalkan kuasa di negeri-negeri, merampas kembali negeri yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu dan mengekalkan kuasa BN di peringkat pusat.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno untuk penggal akan datang, Shahrizat berkata beliau masih belum memikirkan perkara itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain