Tragedi Bot Karam Di Sandakan: Mayat Kedua Ditemui

SANDAKAN: Mayat murid Tahun Enam yang lemas dalam tragedi bot karam berhampiran Pulau Timbang dekat sini semalam, ditemui, Sabtu kira-kira tiga batu nautika dari tempat kejadian.

Mayat Zulaika Amri, 12 ditemui terapung di perairan berhampiran Kampung Sinora kira-kira 1 petang tadi oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari, kata Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin Wilayah Sandakan ASP Gan Ping Sin.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi.

Semalam, Zulaika bersama lima lagi iaitu bapanya Amri Tutuh, 30-an, dua adik lelaki, adik perempuan dan sepupunya, Sabturina Mohd Noor, 10, dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Kampung Baru ke Kampung Serabut sebelum bot dikemudi Amri karam.

Dalam kejadian 1 petang itu, Sabturina ditemui mati lemas, manakala Amri dan tiga lagi anaknya yang berusia antara setahun dan lima tahun berjaya diselamatkan.

Amri dan dua anaknya bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent bagi rawatan lanjut dan mereka dilapor berada dalam keadaan stabil. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain