suria

Lawatan Ke Indonesia Berjaya - Muhyiddin

NUSA DUA: Lawatan enam hari Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia berjaya merapatkan dan meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Indonesia.

Itulah rumusan yang dibuat oleh Muhyiddin di akhir lawatannya ke republik itu yang mempunyai penduduk berjumlah 240 juta orang dan mempunyai sejarah yang panjang dalam hubungan dengan Malaysia.

Dalam lawatan beliau kali ini, Timbalan Perdana Menteri berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan Naib Presiden Indonesia Boediono semasa di Jakarta, mengenai perkara bersangkutan soal kepentingan bersama.

"Semasa pertemuan dengan Boediono, banyak yang kami bincangkan khususnya mengenai kepentingan bersama dua negara termasuk perdagangan, pelaburan serta kerjasama yang sudah terjalin seperti dalam bidang pertahanan, pendidikan dan bidang-bidang lain," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Mereka turut berbincang mengenai isu dua hala yang sering mengganggu hubungan di peringkat rakyat iaitu masalah tenaga kerja, masalah sempadan maritim yang dipertikaikan di beberapa kawasan serta masalah budaya.

Muhyiddin turut menggunakan kesempatan itu untuk menjelaskan kepada Boediono bahawa Malaysia tidak berhasrat menuntut menjadi pemilik budaya masyarakat Mandailing di Malaysia berhubung krontroversi yang tercetus berikutan cadangan Malaysia untuk mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada warisan budaya negara baru-baru ini.

Hubungan peringkat rakyat di kedua-dua negara menjadi tegang baru-baru ini apabila beberapa kumpulan masyarakat di republik itu bertindak mengadakan demonstrasi bagi membantah hasrat masyarakat Mandailing di Malaysia untuk mendaftarkan tarian Tor-tor dan persembahan paluan Gordang Sambilan (sembilan gendang), mengikut Akta Warisan Kebangsaan, bagi tujuan pelestariannya di Malaysia.

Masyarakat Mandailing di Indonesia khususnya serta Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia bimbang cadangan untuk mendaftarkan budaya itu di Malaysia akan menjadikan Malaysia sebagai pemilik budaya yang berasal dari masyarakat suku Batak Mandailing dari Sumatera Utara itu.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, turut mengetuai delegasi pemimpin Umno dalam pertemuan dan perbincangan dengan tiga parti politik terbesar di Indonesia iaitu Parti Golkar, Parti Demokrat dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dalam usaha merapatkan lagi hubungan politik di antara kedua-dua negara.

Perbincangan dengan ketiga-tiga parti politik itu yang dijalankan secara berasingan, dimulai dengan pertemuan dengan para pemimpinnya iaitu Ketua Umum parti Golkar Aburizal Bakrie, Ketua Umum parti Demokrat Anas Urbaningrum dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (DPI-P) Megawati Sukarnoputeri.

Muhyiddin gembira dengan hasil perbincangan dengan ketiga-tiga parti politik itu, yang menyatakan komitmen mereka untuk terus merapatkan hubungan dua hala yang sedia ada.

Semasa berucap pada pertemuan itu, Aburizal, yang dengan rasmi dinamakan sebagai calon presiden Indonesia dari Parti Golkar pada Pilihan raya Umum Presiden pada 2014 nanti, menyifatkan kehadiran Muhyiddin sebagai suatu penghormatan kepada parti Golkar.

Aburizal juga menganggap hubungan peringkat parti politik antara Umno dan Golkar boleh menjadi landasan diplomasi kedua selepas hubungan diplomatik peringkat kerajaan kedua-dua negara.

Anas pula menganggap hubungan dijalin antara parti Demokrat dan Umno mampu membawa kepada perpaduan yang lebih erat antara Indonesia dan Malaysia, selain menjadi pintu kepada peningkatan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang di masa hadapan.

Kedua-dua tokoh politik itu mengakui bahawa hubungan baik Indonesia dan Malaysia sering diuji dengan pelbagai isu di peringkat masyarakat dan ini adalah perkara yang wajar bagi negara yang berjiran.

Apa yang penting dilakukan oleh Indonesia dan Malaysia dalam menghadapi isu dua hala itu ialah bagaimana mereka menguruskan masalah itu agar tidak mengganggu dan menjejaskan hubungan baik yang sedia terjalin.

Selepas pertemuan dengan pemimpin kerajaan dan parti politik itu, Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia sedang mengkaji kemungkinan melantik seorang jurucakap rasmi kerajaan untuk menangani isu dua hala antara Malaysia dan Indonesia secara lebih cepat dan berkesan, sebelum sesuatu masalah itu berkembang menjadi lebih besar dan menyulitkan keadaan.

Dari Jakarta, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, melanjutkan lawatannya ke Yogyakarta untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asean ke-7, mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asean Campur Tiga yang pertama dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) peringkat Menteri Pelajaran yang pertama.

"Persidangan itu memberikan impak yang cukup besar dalam sejarah Asean kerana kali pertama memberi tumpuan dalam soal pembangunan sektor pendidikan," katanya.

Dalam kunjungan beliau ke Bali, yang merupakan destinasi akhir lawatan ke Indonesia kali ini, Timbalan Perdana Menteri meninjau kemajuan sektor pelancongan yang diusahakan oleh Lembaga Pelancongan Bali untuk menarik lebih ramai pelancong asing melawat dan berbelanja di pulau dewata yang kaya dengan budaya masyarakat beragama Hindu di Indonesia itu.

Selain meminta sektor pelancongan di Malaysia mencontohi kemajuan yang dicapai oleh negala lain sebagaimana yang dilakukan di Bali dalam membangunkan bidang pelancongan, Muhyiddin turut mengingatkan sektor pelancongan Malaysia supaya terus bekerja keras mengembangkan sektor itu dengan lebih pesat dalam menghadapi persaingan dari negara serantau.

Timbalan Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dan dialog dengan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Bali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain