suria

Tarikh Rayuan Dua Bekas Anggota UTK Ditunda

PUTRAJAYA: Pendengaran kes rayuan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu ditunda kepada 31 Oktober dan 1 November.

Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, N. Kanageswari pada Jumaat.

Kanageswari menetapkan tarikh itu setelah meluluskan permohonan peguam J. Kuldeep Kumar yang, yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri, untuk menukar tarikh asal pendengaran kes berkenaan pada 27 dan 28 Ogos ini.

Kuldeep memohon penangguhan itu atas alasan tarikh berkenaan terlalu hampir dengan tarikh sambutan Aidilfitri.

Katanya, beliau dan rakannya peguam Datuk Hazman Ahmad juga memerlukan lebih banyak masa untuk membuat persiapan kerana perlu meneliti 65 naskhah rekod rayuan.

Adifiltri dijangka disambut pada 19 dan 20 Ogos ini .

Sementara itu, Azilah juga mungkin memasukkan alasan tambahan dalam petisyen rayuannya.

Pada 30 April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Koperal Sirul Azhar Umar menambah enam lagi alasan kepada sembilan alasan sedia ada dalam petisyen rayuannya.

Pihak pendakwa diwakili Ketua Unit Rayuan, Jabatan Peguam Negara Manoj Kurup, manakala Nurhidayah Mohd Razali mewakili Sirul Azhar.

Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, merayu terhadap keuptusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mensabitkan mereka pada 9 April 2009 terhadap membunuh Altantuya yang ketika itu berusia 28 tahun.

Kedua-duanya didapati bersalah membunuh wanita kelahiran Ulan Bator itu di antara pukul 9.45 malam pada 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam hari berikutnya di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dilepaskan Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 atas alasan tidak terdapat kes prima facie terhadap beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain