suria

Strategi Jamin Keselamatan Di Pusat Beli-Belah Akan Diadaptasi - Ismail

KUALA LUMPUR: Polis akan mengadaptasi strategi untuk menjamin keselamatan di pusat membeli-belah dan pasar raya ekoran peningkatan insiden serangan ke atas golongan wanita di tempat berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, polis sedang menganalisis jenayah yang berlaku di negara ini dan mengenal pasti pendekatan baru untuk membanteras jenayah tersebut.

"Jika jenayah berlaku di pusat membeli-belah dan pasar raya, kita akan memberi tumpuan terhadap tempat-tempat ini.

"Kami memandang serius insiden tersebut dan akan bertemu dengan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) untuk menyuarakan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gotong-Royong di Bukit Aman, Jumaat.

Beliau berkata, polis akan mengadaptasi strategi penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan di negara ini.

Ismail mengulas mengenai laporan serangan terhadap golongan wanita di tempat letak kereta beberapa pusat membeli-belah dan pasar raya di sini.

"Saya tidak menafikan jenayah tersebut berlaku tetapi segelintir pihak menghangatkan lagi situasi itu," katanya.

Kes-kes yang melibatkan wanita menjadi sasaran perompak menjadi perhatian apabila seorang pedagang saham Internet Chin Xin-Ci memaklumkan di laman sosial Facebook mengenai serangan dan cubaan menculik yang dilakukan oleh dua lelaki terjadi ke atasnya di pusat membeli belah berkenaan pada 27 Mei lalu.

Dalam tempoh kurang 24 jam kemudian, dua wanita dirompak RM80,000 di tempat sama manakala seorang wanita diserang di tempat letak kereta di luar pusat beli-belah itu pada 4 Jun.

Pada 24 Jun, seorang wanita hampir putus jarinya apabila diserang oleh perompak yang memiliki senjata dan ia berlaku berhampiran Taman Tun Dr Ismail di sini.

Kurang 32 jam sebelum itu, seorang lagi wanita turut diserang dan dirompak kurang 9 kilometer daripada tempat tersebut dan kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah di sini.

Terbaru, seorang lagi wanita telah diserang pada siang hari di sebuah tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya besar di sini.

Ketika kejadian, Nooralida M. Noor mahu memasuki keretannya di sebuah pusat membeli-belah pada kira-kira pukul 2.50 petang pada Selasa apabila seorang lelaki secara tiba-tiba masuk ke dalam kenderaannya serta mengelar lengan kiri dan lehernya.

Artikel Berikut

Artikel Lain