suria

MCA Tidak Tergugat Dengan Tindakan Undang-Undang Kerajaan Selangor - Dr Chua

YONG PENG: MCA tidak tergugat dengan tindakan undang-undang yang akan diambil kerajaan negeri Selangor mengenai dakwaan skandal penyelewengan RM1 bilion, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Dr Chua berkata, beliau mengalu-alukan tindakan tersebut tetapi berharap agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak akan menggunakan kuasa undang-undang untuk menghalang MCA daripada mendedahkan kontroversi Talam Corporation.

Katanya, sesiapa saja mempunyai hak untuk bertanya.

Jangan gunakan tindakan undang-undang ini untuk mengancam kami, kami tidak tergugat kerana apa yang betul akan terus didedahkan.

Beliau (Khalid) mempunyai hak untuk menyaman tetapi jangan jadikan ia sebagai perintah tutup mulut terhadap MCA untuk membongkar kebenaran dan mengalih perhatian.

"Kami membangkitkan isu ini untuk menyedarkan rakyat kerana ia melibatkan dana awam," katanya pada majlis makan malam anjuran Persatuan Sam Shen Kuan di sini, Khamis.

Dr Chua berkata, pembangkang sentiasa menjadi juara kepada Ketuanan Rakyat, ketelusan, kredibiliti dan prestasi, maka mereka perlu bertanggungjawab menjelaskan kontroversi tersebut.

"Kami hanya ingin tahu mengenai proses pemulihan hutang Talam oleh kerajaan Selangor kerana ia melibatkan dana negeri itu," katanya.

Dr Chua turut memuji usaha pemimpin MCA di seluruh negeri yang lantang bersuara dan menggesa mereka terus mendedahkan penyelewangan tersebut.

Kerajaan Selangor dicabar untuk menjelaskan tindakan melunaskan hutang RM392 juta dari Talam Corporation Bhd menjadi perjanjian bernilai lebih RM1 bilion.

Pada Rabu, Khalid berkata, dakwaan yang dilemparkan tidak benar dan telah merosakkan imej kerajaan negeri.

Kerajaan negeri Selangor akan menyaman pihak yang menuduh mereka menyalahguna dana bernilai RM1 bilion.

Artikel Berikut

Artikel Lain