suria

Hari Pesara Sektor Awam Dicadang Pada 19 Julai

KUALA LUMPUR: Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) mencadangkan agar 19 Julai dipilih sebagai 'Hari Pesara Sektor Awam 1Malaysia'.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pesara kerajaan juga perlu mempunyai satu tarikh khas bagi membolehkan sumbangan mereka terhadap pembangunan negara diingati dan dihargai sebagaimana negara menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei.

"Tidak perlulah diumumkan cuti pada hari tersebut, cukup sekadar ada pengisian dan program tertentu yang boleh kita adakan kepada kira-kira 580,000 pesara kerajaan di seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Omar berkata, cadangan itu adalah antara usul yang akan disyorkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena 'Perhimpunan Perdana Pesara Kerajaan 1Malaysia' di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 19 Julai ini.

Kupekmas pada perhimpunan itu juga bercadang meminta kerajaan menubuhkan sebuah wisma khas kepada pesara sektor awam, yang berfungsi sebagai pusat sehenti golongan itu menjalankan aktiviti, katanya.

"Wisma ini berbeza dengan pusat kebajikan yang ada di luar sana kerana kita rancangkan ia sebagai tempat bagi pesara berhimpun dan berkongsi idea kreatif supaya masyarakat sentiasa nampak peranan mereka," katanya.

Mengenai perhimpunan itu, Omar menjangkakan kira-kira 5,000 pesara sektor awam dari seluruh negara bakal menghadirinya.

"Selain menghimpunkan bekas penjawat awam, perhimpunan ini juga akan menjadi transformasi penting kepada pesara dalam mencorak hala tuju masing-masing menjelang 2020," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain