Polis Tumpas Kumpulan Pecah Rumah, Samun Kereta - Semasa | mStar

Polis Tumpas Kumpulan Pecah Rumah, Samun Kereta

PETALING JAYA: Kumpulan pecah rumah dan samun kereta mewah yang aktif di sekitar Subang Jaya tumpas dengan tertangkapnya enam suspek di sekitar Lembah Klang pada Ahad dan Isnin lepas.

Polis turut menemui semula enam kereta yang dilapor hilang sebelum ini serta barangan dipercayai hasil samun dengan nilai keseluruhan dianggar RM1 juta, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah pada sidang media, di sini Rabu.

Beliau berkata suspek yang berusia antara 20 dan 40-an itu ditahan dalam tiga serbuan susulan cubaan samun sebuah rumah di Persiaran Kewajipan di sini Ahad lepas.

"Pada mulanya orang ramai melihat sebuah kereta jenis BMW yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan berkenaan sebelum menghubungi pihak polis kira-kira pukul 6.20 pagi.

"Rondaan pihak polis kemudiannya memeriksa BMW tersebut dan menangkap seorang lelaki di dalamnya bersama peralatan pecah rumah serta merampas kereta tersebut," katanya.

Beliau berkata tiga lagi suspek yang berada di dalam rumah terbabit melarikan diri melalui pintu belakang selepas menyedari rakan jenayah mereka dicekup.

Susulan penangkapan suspek pertama, lima lagi anggota kumpulan itu berjaya ditahan dalam masa 24 jam dengan seorang ditangkap di sebuah restoran makanan segera di Jinjang dan empat lagi di sebuah hotel bajet di Puchong.

Turut dirampas di hotel tersebut adalah tujuh komputer riba, peralatan pecah rumah, kunci dan nombor pendaftaran kenderaan, katanya.

Adnan berkata dengan tumpasnya kumpulan itu, polis percaya 19 kes samun dan pecah rumah serta 18 kes melarikan kereta di Subang jaya sejak tahun lepas berjaya diselesaikan.

Polis juga percaya kumpulan berkenaan terbabit dalam kes samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang susulan penemuan enam kereta yang dilapor hilang tahun ini.

Adnan berkata modus operandi yang diguna kumpulan terbabit adalah dengan meronda untuk mencari rumah yang senang dipecah masuk melalui pintu belakang dan selepas menyamun, mereka akan membawa lari kereta mangsa.

"Tetapi bagi rumah di Persiaran Kewajipan baru-baru ini mereka menekan loceng rumah terlebih dahulu dan tunjukkan parang yang dibawa sebelum mengikat mangsa dan mengeledah rumah," katanya.

Katanya siasatan lanjut mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, samun, dadah dan gaduh.

Beliau berkata polis juga sedang menjejaki seorang lelaki, Chan Yung Ting yang memegang kad pengenalan bernombor 910329-14-5313 dan beralamat terakhir di Taman Selayang Jaya, Batu Caves, Selangor bagi membantu siasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta hubungi pegawai penyiasat ASP Nadzri Harun di talian 019-3555507 atau menghubungi balai terdekat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain