suria

Penunda Kereta Didakwa Rompak Kerani

KUALA LUMPUR: Seorang penunda kereta pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan merompak barang kemas dan telefon bimbit seorang kerani membabitkan kerugian RM2,500 dua bulan lepas.

A. Saravanan, 34, didakwa merompak seutas gelang emas, dua bentuk cincin dan dua telefon bimbit milik Siti Syuhaida Mazlan, 20, di dalam bilik sewa di Jalan Tun H.S Lee, Dang Wangi di sini pada 5.45 petang, 24 Mei lepas.

Saravanan, yang ditangkap pada 29 Jun lepas, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin tetapi peguam V. Ravichandran yang mewakili Saravanan memohon supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan kes.

Sementara itu, tiga rakan mengaku tidak bersalah di mahkamah sama terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap pasangan kekasih warga Thailand membabitkan RM1,500 hujung bulan lepas.

R. Kishen dan K. Revivarman, yang bekerja di sebuah pasar raya dan penganggur, J. Uthayakumar didakwa merompak beg silang yang mengandungi pasport dan buku bank Thailand serta dua telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai RM1,500 milik seorang penyanyi, Yotsapat Pisitvoravong, 32, dan teman wanitanya, Dararat.

Kesemua tertuduh yang berusia 19 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bangunan Scott Garden, Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada 2.50 pagi 30 Jun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Ahmad Nazneen manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Lain