suria

Nenek Cemas Atap Rumah Diterbangkan Angin Kencang

KEPALA BATAS: Seorang nenek mengalami detik cemas semalam apabila bumbung rumahnya tercabut selepas ditiup angin kencang dalam kejadian ribut di Kampung Baru, di sini.

Asmah Saad, 62, berkata dalam kejadian pada 5 petang itu dia bersama anak lelaki, menantu dan dua cucunya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.

"Tiba-tiba angin bertiup kencang dan hujan lebat sebelum terdengar deruman kuat serta dalam masa yang sama bekalan eletrik di rumah terputus", katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya angin kuat disusuli hujan lebat itu membuatkan dia takut untuk keluar rumah walaupun atap rumah sudah mula tercabut dan ketika itu dia berdoa agar mereka sekeluarga selamat.

Selain rumah Asmah, dua kediaman lain di kampung berkenaan turut rosak akibat kejadian ribut berkenaan dan kerugian mereka dianggarkan lebih RM50,000.

Seorang lagi mangsa, Hussin Hamidon,76, berkata ketika kejadian dia baru pulang dari masjid yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Ketika itu hujan lebat dan tiba-tiba bumbung rumah diterbangkan angin menyebabkan tingkat atas rumah saya dipenuhi air hujan, nasib baik cucu lelaki yang tinggal dengan saya tiada di rumah kerana ke pekan," katanya.

Beliau yang tinggal berdua dengan cucunya itu selepas kematian isteri hampir tujuh tahun lalu berkata banyak barangan elektrik dan perabot di rumahnya rosak akibat kejadian itu.

Sementara itu, isteri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga Datuk Azhar Ibrahim, Datin Aishah Mohd Yusof yang melawat mangsa berkata suaminya akan menyalurkan bantuan segera bagi meringankan beban semua mangsa yang terlibat.

"Selain bantuan segera bagi meringankan beban mangsa, pihak pejabat ADU Njuga sedang berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seberang Perai Utara untuk mendapatkan peruntukan di bawah Skim Bencana Alam bagi membaiki rumah mangsa terlibat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain