suria

Miliki Ganja: Bekas Pekerja Bengkel Dipenjara Enam Tahun, 10 Sebatan

SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja bengkel dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, Rabu selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan memiliki ganja seberat 381 gram pada Februari tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Muhammad Hasyiff Abdul Jalil, 19, selepas dia mengaku bersalah terhadap satu lagi tuduhan memiliki syabu seberat 1.62 gram.

Abdul Rahim memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman penjara itu secara serentak berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 7 Feb tahun lepas.

Muhammad Hasyiff didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di hadapan sebuah bangunan kedai di Lorong Pandan Pertama 3, Pandan Utama, Ampang dekat sini, kira-kira 9.55 malam.

Dia dituduh memiliki ganja mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 39A(2) Akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Tuduhan memiliki syabu pula adalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 12(3) Akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Hasyiff sebelum ini dibicarakan atas tuduhan mengedar ganja mengikut Seksyen 39B Akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalaha.

Bagaimanapun di akhir kes pendakwaan, mahkamah memutuskan untuk meminda pertuduhan kepada memiliki selepas enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Dia kemudiannya mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan itu.

Terdahulu, peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid yang mewakili Muhammad Hasyiff memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan pesalah muda semasa kejadian dan terjebak dengan dadah akibat pengaruh daripada rakan-rakannya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tertuduh adalah serius. -BERNAMA

Artikel Lain