suria

Polis Tubuh Pasukan Khas Siasat Pendedahan Dokumen Rahsia

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan pasukan khas menyiasat pendedahan dokumen tender kontrak sambungan projek transit aliran ringan (LRT) Ampang yang dikelaskan sebagai rahsia kerajaan seperti tersiar dalam sebuah portal berita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata laporan polis telah dibuat beberapa individu kementerian berkaitan di Putrajaya pada Selasa mengenai penyiaran maklumat projek tersebut.

"Pengadu mendakwa beberapa dokumen tender telah didedahkan kepada pihak yang tidak berhak melalui portal berkenaan. Maklumat serupa sering dimanipulasikan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan diri," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Mohd Bakri berkata polis memandang serius perkara tersebut kerana pendedahan dokumen yang telah dikelaskan sebagai rahsia kerajaan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan kepentingan negara.

"Kita akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh mengikut Seksyen 8 (1) (i) Akta Rahsia Rasmi 1972. Sekiranya dapat mengenal pasti pihak terlibat, mereka akan didakwa di mahkamah.

"Mereka yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun," katanya sambil menambah kata bahawa siasatan akan tertumpu pada bagaimana kebocoran maklumat itu berlaku dan sama ada ia melibatkan 'orang dalam'.

Katanya, siasatan akan dilakukan terhadap portal yang mendedahkan tender kontrak sambungan projek terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain