Pembantu Pejabat Didakwa Rompak Pengurup Wang - Semasa | mStar

Pembantu Pejabat Didakwa Rompak Pengurup Wang

PETALING JAYA: Seorang pembantu pejabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu terhadap pertuduhan merompak seorang pekerja premis pengurup wang dengan menggunakan sebilah parang, enam bulan lepas.

Mohamed Firdaus Mohamed Sharif, 26, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan rompakan terhadap Muhamad Shaffiq Farook Ali Maricar, 30, di premis pengurup wang di IOI Mall Puchong, Puchong, Selangor, antara 10.15 pagi hingga 10.30 pagi, 12 Januari lepas.

Mohamed Firdaus, yang bekerja di sebuah agensi pekerja asing, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tertuduh, seorang warga tempatan, tiada dokumen pengenalan diri dan mahkamah menetapkan 18 Julai untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan dua orang merompak sebuah premis pengurup wang di sebuah pasar raya di Puchong dan melarikan wang lebih RM400,000. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan