suria

Pemandu Teksi Berperanan Bentuk Persepsi Mengenai Negara: PM

PUTRAJAYA: Para pemandu teksi merupakan satu kumpulan penting dalam mempamerkan imej baik negara, di samping dapat membentuk persepsi orang ramai terutama pelancong asing mengenai negara yang dilawati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata persepsi baik atau sebaliknya biasanya terbentuk semasa penumpang teksi menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu dan berinteraksi dengan pemandunya.

Menurutnya apabila pelancong mendapat layanan yang memuaskan, mereka akan merasakan bahawa mereka berada di sebuah negara yang makmur dengan rakyat yang mesra dan bersedia melakukan yang terbaik bagi menaikkan imej negara, dan ini akan disenangi pelancong.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Program Duta Teksi Pelancongan, Rabu yang menyaksikan kehadiran hampir 2,000 teksi membanjiri kawasan sekitar Dataran Putra di sini.

Najib berkata insentif hampir RM35 juta buat para pemandu teksi menerusi program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang diumumkannya baru-baru ini merupakan bantuan peringkat awal semata-mata, kerana kerajaan sedang berusaha menyediakan model baru pembangunan industri teksi.

Beliau berkata menerusi model baru ini kebajikan para pemandu teksi akan terus diperjuangkan dengan lebih hebat lagi oleh kerajaan.

Program Duta Teksi Pelancongan yang dimulakan Mac lepas dengan peringkat permulaan disasar buat pemandu teksi sekitar Lembah Klang itu digerakkan dengan matlamat untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan penerapan amalan nilai-nilai etika kepada para pemandu teksi yang diberikan status berkenaan.

Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para Duta Teksi Pelancongan mengenai produk-produk pelancongan serta tatacara sebagai pemandu teksi berhemah, pemandu teksi terpilih perlu menjalani kursus enem bulan yang meragkumi pelbagai topik yang berkaitan latar belakang Malaysia dan Dasar Pelancongan Negara.

Seramai 4,000 pemandu teksi disasar untuk dilantik sebagai Duta Teksi Pelancongan dan sehingga bulan lepas 2,315 pemandu teksi sudah terpilih menjalani kursus yang ditetapkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain