suria

Pasukan Khas Buru Perompak ATM RM1.17 Juta

KUALA LUMPUR: Polis, pada Selasa, menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kecurian wang tunai berjumlah RM1.17 juta dari empat mesin juruwang automatik (ATM) di aras 1 pasar raya Carrefour, Wangsa Maju di sini, Ahad lepas.

Pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah kini sedang mengumpul maklumat dan masih melakukan siasatan terperinci bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dan akan merakamkan keterangan beberapa orang saksi.

"Kita akan ambil keterangan mereka yang terlibat, dari pengawal keselamatan, pihak bank dan pekerja yang bertanggungjawab memasukkan wang ke dalam mesin ATM, saya percaya kita akan dapat menangkap suspek dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media selepas melancarkan majalah Tinta Kor Suksis Universiti Malaya, di sini, Selasa.

Berhubung penahanan seorang warga Mesir, 31, berkaitan kes itu semalam, beliau berkata pihak polis telah membebaskan lelaki itu hari ini kerana tiada bukti kukuh untuk mensabitkan penglibatan warga Mesir itu.

"Kita telah bebaskan dia (warga Mesir) tiada alasan untuk tahan dengan lebih lanjut," katanya.

Mohmad berkata polis masih mengenal pasti sama ada beberapa kejadian kecurian wang di mesin ATM akhir-akhir ini dilakukan kumpulan sama berdasarkan modus operandi yang sama.

"Kita masih tidak dapat sahkan sama ada ia dilakukan kumpulan yang sama, kita masih siasat, masih terlalu awal untuk buat rumusan," katanya.

Kes rompakan Ahad lalu merupakan kes kelapan rompakan mesin ATM dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang membabitkan jumlah kerugian keseluruhan hampir RM1.8 juta.

Pada 22 Jun lepas, sekumpulan lelaki tempatan dikenali geng Oxy-gas menggunakan alat pencair besi mencuri mesin ATM bernilai RM80,000 dilarikan di pasar raya Giant, Taman Permata.

* 14 Jun, mesin ATM di Stesen Komuter Subang Jaya kerugian RM47,900 apabila dilarikan empat lelaki bertopeng menggunakan tali lebar dan kenderaan pacuan empat roda. * 1 Jun, mesin ATM di Bandar Baru Salak Tinggi kerugian RM37,520 dilarikan sekumpulan lelaki menggunakan kabel. * 26 Mei, sebuah mesin ATM di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti rugi lebih RM61,000 apabila penjenayah menggunakan mesin mencairkan besi. * 25 Mei, sebuah mesin ATM di sebuah kompleks membeli-belah di Balakong, dekat sini, dilarikan dengan nilai RM200,000 setelah ia digerudi penjenayah. * 29 April, sebuah mesin ATM di di Mid Point, Ampang kerugian RM190,000 selepas diumpil oleh penjenayah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain