suria

Nelayan Nyaris Lemas Dirempuh Bot Pancung

KOTA TINGGI: Seorang nelayan bot jaring terpaksa bertarung dengan maut hampir setengah jam di tengah laut setelah botnya dirempuh sebuah bot pancung ketika menangkap ikan kira-kira 12 batu nautika Timur Laut Tanjung Penyusop Pengerang, Kota Tinggi pagi Rabu.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu mangsa Abd Malik Abd Rahim, 50, terpaksa bertindak nekad dengan terjun ke laut walaupun dalam keadaan arus deras dan laut bergelora apabila sebuah bot pancung dari arah Tanjung Balau itu secara tiba-tiba dipandu laju ke arah botnya.

"Ketika itu saya sedang berehat di bahagian belakang bot, manakala adik ipar saya, Mohd Nazri Rahim, 26, sedang tidur di depan bot sementara menunggu masa untuk mengangkat pukat.

"Secara tiba-tiba saya terdengar bunyi enjin bot yang kuat dan melihat sebuah bot pancung menghampiri bot saya dalam keadaan laju. Saya menjerit, namun agak terlambat menyebabkan saya terpaksa terjun ke dalam laut untuk mengelak daripada dirempuh bot itu," katanya.

Abd Malik yang ditemui pemberita di Jeti Sungai Rengit berkata bot pancung terbabit melayang melanggar belakang botnya dan beliau sendiri nyaris terkena kipas bot berkenaan yang kemudian melarikan diri selepas itu.

Beliau yang dihanyutkan arus deras selepas itu terpaksa berhempas pulas berenang untuk kembali ke botnya lebih setengah jam kerana kejadian itu tidak disedari oleh adik iparnya yang tidur lena selepas kepenatan beberapa kali mengangkat pukat.

"Semasa itu saya hanya teringatkan mati, namun apabila teringatkan isteri di rumah bersama anak-anak, saya kuatkan semangat untuk berenang kembali ke bot dan terpaksa menanggalkan seluar jeans yang dipakai untuk memudahkan saya berenang," katanya.

Abd Malik berkata dia terpaksa mengejutkan adik iparnya beberapa kali yang kemudian terjaga dalam keadaan kehairanan apabila melihatnya berada di dalam laut dan melihat kerosakan di bahagian belakang bot mereka.

Dia kemudian menghubungi isterinya dan memintanya memaklumkan tentang kejadian itu kepada majikan, pihak persatuan nelayan tempatan dan pihak berkuasa untuk mendapatkan pertolongan.

Dua keluarga dari Kampung Bukit Raja Darat itu, selamat tiba di Jeti Sungai Rengit kira-kira 12 tengah hari Rabu dengan bantuan daripada pihak berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain