suria

Kes Sosilawati: Tertuduh Kedua Tidak Lihat Kejadian Luar Biasa Pada Malam Pembunuhan

SHAH ALAM: Tertuduh kedua dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa dia tidak melihat sebarang kejadian luar biasa berlaku di Ladang Gadong, Banting pada malam kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

T. Thilaiyalagan, 21, berkata dia juga tidak mendengar suara teriakan wanita pada 9 malam, 30 Ogos 2010.

Sebaliknya, tertuduh berkata pada malam itu dia bersama tertuduh ketiga R. Matan, tertuduh keempat R. Kathavarayan serta dua lagi pekerja ladang, U.Suresh dan K.Sarawanan, berada di ladang berkenaan bagi meraikan hari kemerdekaan yang disambut keesokannya (31 Ogos 2010).

Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu.

"Pada malam 30 Ogos itu, kami telah adakan upacara makan-makan dan minum arak di pondok rehat di ladang berkenaan untuk raikan kemerdekaan. Kami juga telah ikat bendera Malaysia dan Selangor di tiang dan sambutan habis pada 12.30 tengah malam," kata saksi kedua pembelaan itu ketika menjawab soalan peguam belanya, Gurbachan Singh.

Bekas peguam N. Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kepada soalan lain Gurbachan, Thilaiyalagan berkata dia tidak melihat api yang besar di ladang berkenaan pada 12 tengah malam 31 Ogos 2010.

"Kebiasaannya di ladang, saya hanya akan nyalakan api kecil dalam tong menggunakan rumput kering selepas 7 malam supaya ternakan seperti kambing, ayam dan anak ayam belanda tidak digigit nyamuk," katanya.

"Bahayakah kalau ternakan digigit nyamuk?" soal Gurbachan.

"Biasanya, pada anak ayam belanda, kalau nyamuk gigit, kepalanya akan bengkak dan ia akan mati," jawab tertuduh.

Ketika disoal Gurbachan, Thilaiyalagan berkata dia tidak nampak majikannya, Pathmanabhan, datang ke ladang pada 29 Ogos dan 30 Ogos 2010.

Saksi itu juga memberitahu dia tidak mengenali Sosilawati serta tiga lagi mangsa dan hanya pertama kali melihat wajah keempat-empat mangsa dalam keratan akhbar yang ditunjukkan kepadanya semasa disoal siasat oleh pihak polis.

Gurbachan: Pada 7 malam, 30 Ogos 2010, adakah kamu lihat sesiapa datang ke ladang?.

Thilaiyalagan: Ya, keluarga kakak Ravi (Kathavarayan) telah datang ke ladang. Selain mereka tiada orang lain datang ke ladang.

Ketika disoal mengenai enam keping zink dengan kesan terbakar yang merupakan eksibit dalam kes bunuh itu, Thilaiyalagan mengakui ada menggunakan zink di ladang tetapi bukan eksibit berkenaan.

Gurbachan: Adakah zink ini (eksibit) digunakan di ladang?

Thilaiyalagan: Ini merupakan model lama, ia tidak pernah digunakan di ladang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain