suria

Kerajaan Hargai Peranan Penulis Ke Arah Negara Maju - PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan amat menghargai peranan yang dimainkan penulis dalam perjalanan nasional ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau berkata ini kerana kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak dapat diukur melalui pendapatan per kapita, kadar pertumbuhan ekonomi atau jumlah eksport semata-mata, sebaliknya ia juga harus diukur daripada hasil kreativiti dan inovasi masyarakatnya yang dicerminkan daripada hasil penulisan.

"Kita akan sentiasa memberikan ruang yang secukupnya kepada para penulis untuk berkarya. Kita akan membantu golongan penulis terutama generasi muda untuk mengembangkan bakat mereka," katanya semasa melancarkan 30 judul buku karya asli terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Seri Perdana di sini, Selasa.

Najib berkata penulis tempatan perlu memperluas tasawur (gambaran atau tanggapan akal atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara) mereka dengan menerokai dunia luar untuk menimba ilmu yang difikir boleh dikongsi bersama khalayak di Malaysia.

Selain mencatat kehebatan dan kesusateraan dan pembukuan, penulis wajar mengambil iktibar dari tokoh pembaharuan umat Jamaluddin al-Afghani, semasa pengembaraan beliau ke banyak negara, sama ada negara Islam atau bukan Islam, katanya.

"Melalui hasil pengembaraannya itu al-Afghani banyak menunjukkan jalan kepada seluruh umat tentang kaedah menghadapi arus modenisasi dunia ini melalui berfikir secara rasional dan bebas," katanya.

Beliau berkata semasa negara luar, khususnya negara Islam sedang bergolak keadaan politiknya, rakyat Malaysia masih dirahmati dengan keamanan dan kebebasan untuk berfikir serta mengembangkan kegiatan intelektual dan ilmiah.

"Kita wajar mengambil iktibar bagaimana Baghdad, Cordoba, Qairuwan, Bashrah dan Kufah pada masa kegemilangan Islam dahulu, ibarat lautan ilmu pengetahuan, di mana penduduknya mendalami serta mentelaah pelbagai seni pengajaran sehinggakan mereka mengungguli orang terdahulu dan melampaui orang terkemudian," katanya.

Bagaimanapun menurutnya disebabkan kealpaan, ilmu pun lenyap, bahkan kota Islam pun berpindah.

Najib berkata perkara yang sama tidak seharusnya dibiarkan berlaku dalam negara, namun jika semua hanya berpeluk tubuh dan membiarkan fitnah mengatasi kebenaran, tidak hairan sekiranya rakyat kelak sekadar menjadi bangsa yang hanya mampu menangisi apa yang telah hilang hari ini.

Perdana menteri mengingatkan bahawa semasa merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada Disember tahun lepas, beliau menyatakan setiap buku yang diterbitkan ITBM dengan kerjasama PENA dan Percetakan Nasional Berhad (PNMB) perlu diterbitkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas manuskrip diterima daripada penulis.

"Saya menyatakan perkara ini mesti dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI)yang perlu dilaksana ITBM sebagai tanggungjawab baharu selepas diumumkan penambahan mandat untuk menerbitkan karya asli selain melakukan tugas terjermahan," katanya.

Najib berkata ITBM berjaya melepasi sasaran KPI itu dengan menerbitkan 30 judul buku karya asli dalam pelbagai bidang, antaranya sastera, umum dan pendidikan sekaligus melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 10 judul sebulan bermula bulan lepas.

Antara judul buku yang diterbitkan ialah antalogi rencana karya Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman bertajuk "Pengakuan Penyair", novel "Perempuan Nan Bercinta" karya Faisal Tehrani, "Biar Puisi Menjadi Peluru" iaitu kumpulan puisi karya Saifullizan Yahaya dan "Memoir Seorang Juruhebah" karya Zainal Abas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain