suria

Ijazah Palsu: Mangsa Penipuan Diminta Tampil Beri Keterangan

GEORGE TOWN: Polis meminta mangsa yang membeli ijazah palsu yang didalangi satu sindiket penipuan menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, setakat ini tiada mangsa bertemu polis untuk merekodkan keterangan mereka.

"Kami harap mereka boleh tampil untuk memberi keterangan dan polis tidak akan menahan mereka.

"Namun, jika mereka ingkar, polis boleh menghantar notis di bawah Seksyen 111 Kod Prosedur Jenayah (CPC) untuk memaksa mereka memberi keterangan," katanya pada sidang media di balai polis Jalan Patani di sini, Rabu.

Sambil menegaskan keterangan mangsa amat penting dalam kes penipuan, Gan berkata, mereka memiliki pangkalan data kesemua mangsa.

Terdahulu, seorang lelaki dan dua wanita berusia di antara 24 dan 26 tahun ditahan di Kampar, Perak pada Sabtu selepas USM membuat laporan polis.

Ketiga-tiga suspek masih dibawah tahanan reman sehingga Rabu.

Dalang sindiket itu dipercayai wanita berusia 24 tahun yang juga merupakan bekas pelajar USM.

Hasil siasatan mendapati kira-kira 20 orang mangsa telah membayar RM4,888 untuk setiap sijil yang ditawarkan kepada sindiket itu.

Mereka memasukkan wang ke dalam lapan akaun berbeza di atas nama suspek lelaki tersebut.

Polis telah merampas beberapa komputer dan salinan skrol USM di dalam salah sebuah komputer itu.

Sindiket tersebut berjanji akan memuat turun nama-nama pembeli ke dalam pangkalan data USM menggunakan perisian khas tetapi mereka tidak menjawab panggilan telefon selepas mangsa memasukkan wang yang diminta.

Artikel Sebelum

Artikel Lain