suria

Elemen 'Inside Job' Dalam Rompakan Mesin ATM

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan pecah mesin juruwang automatik (ATM) sejak kebelakangan ini melibatkan maklumat daripada 'orang dalam'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata ini berdasarkan siasatan terhadap kes-kes serupa sebelum ini.

"Kita akan memandang dari sudut itu (penglibatan orang dalam) dalam kejadian seperti ini. Berdasarkan kes-kes terdahulu, siasatan kita mendapati ada elemen 'inside job' yang memberi maklumat tertentu kepada si penjenayah.

"Memang mereka ada 'planning' untuk melakukan kegiatan tersebut," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Terbaru, polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kecurian wang tunai berjumlah RM1.17 juta dari empat ATM pasar raya Carrefour, Wangsa Maju, di sini, Ahad lepas.

Sehubungan itu, Bakri berkata pihaknya akan bertemu dengan pelbagai pihak antaranya pemilik kompleks beli belah dan persatuan-persatuan berkaitan bagi membincangkan beberapa isu berhubung aspek keselamatan.

"Kita akan adakan mesyuarat pada 13 Julai untuk cari jalan bagaimana meningkatkan aspek keselamatan di kawasan masing-masing termasuk tempat letak kenderaan.

"Mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan keyakinan orang awam yang berkunjung ke premis mereka," kata Bakri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain