suria

Ali Hamsa Minta Ketua-Ketua Setiausaha, Jabatan Turun Padang

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru, Datuk Seri Dr Ali Hamsa meminta semua ketua setiausaha dan ketua jabatan supaya turun padang untuk melihat sendiri keadaan petugas masing-masing ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau yang berjanji akan turut berbuat demikian, berkata langkah itu bertujuan menjaga kebajikan penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

"Kita perlu turun melihat sendiri keadaan sebenar. Ada kemungkinan jabatan tertentu ada (berlaku) kelewatan (dalam menyediakan perkhidmatan). Kita perlu lihat perkhidmatan kaunter (misalnya) dan kita (hanya) lihat dari depan, dan tidak tahu adakah mereka selesa, adakah sesiapa yang menjaga mereka.

"Kita perlu jaga kebajikan petugas kita sendiri, perlu lihat kepuasan mereka untuk memberi perkhidmatan," katanya pada program Dialog Khas bersama KS Nterbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV1 malam Rabu.

Pelantikan Ali, 57, berkuat kuasa pada 24 Jun lepas, dan beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Ali yang merupakan KSN ke-13, sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain