suria

Tukang Cuci Dipenjara Enam Bulan Kerana Simpan Dompet Jurujual

KUALA LUMPUR: Seorang tukang cuci dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah menyimpan dompet milik seorang jurujual, dua hari lepas.

Majistret Mohd Azali Ibrahim turut memerintahkan Sauma Wahid, 50, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap 1 Julai lepas.

Ibu kepada lima anak itu didakwa dengan curang menyimpan dompet milik Siti Hanani Zulkaple, 31, di Tingkat 6, Pasaraya Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 9.30 pagi hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, Siti Hanani menyedari dompetnya tercicir di kaunter dan rakaman kamera litar tertutup mendapati Sauma telah mengambil dompet itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Sauma, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman diringankan sambil berkata: "Kakak mahu pulangkan dompet itu tapi tak sempat kerana kakak sedang bekerja pada masa itu." - BERNAMA

Artikel Lain