suria

Polis Tubuh Pasukan Khas Siasat Kes Culik Keluarga Personaliti Singapura

JOHOR BAHARU: Polis Johor menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dan mengesan suspek yang terlibat dalam kes culik terhadap adik perempuan, dua anak serta pembantu rumah personaliti Singapura, Rita Zahara, di sebuah stesen minyak, di sini awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal berkata pihaknya percaya suspek yang terlibat dapat ditahan dalam masa terdekat memandangkan polis sudah menemui beberapa petunjuk berhubung kejadian terbabit.

"Polis, bagaimanapun, masih belum mengenal pasti sama ada suspek yang terlibat dalam kes itu warga tempatan atau sebaliknya. Selepas kejadian berlaku, kesemua mangsa dibebaskan tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Amer berkata polis kini sedang mengesan kenderaan Nissan Sunny berwarna putih yang bernombor pendaftaran Singapura milik mangsa yang dilarikan oleh suspek terlibat.

Memetik laporan media Singapura, Channel News Asia, kejadian pada 12.45 pagi semalam berlaku ketika Rita Zahara, 37, berhenti seketika di sebuah stesen minyak berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin untuk mengisi minyak dan membeli buah-buahan.

Dia meninggalkan adik perempuannya yang berusia 19 tahun, dua anaknya yang berusia 11 dan enam tahun serta pembantu rumah mereka di dalam kereta Nissan Sunny miliknya itu sebelum kenderaan berkenaan dilarikan.

Rita Zahara kemudian menghubungi adiknya, namun panggilan itu dijawab oleh seorang lelaki yang kemudiannya meminta wang tebusan dan mengugut akan membunuh anggota keluarganya jika melaporkan kes itu kepada polis.

Rita Zahara dikatakan turut mengadakan rundingan selama empat jam dengan dua penculik berkenaan sebelum kesemua anggota keluarganya itu dibebas dan ditinggalkan di sebuah kawasan perumahan di Ulu Tiram, di sini.

Amer berkata polis kini sedang mengesan kenderaan Nissan Sunny itu yang bernombor pendaftaran Singapura berkenaan. Sementara itu, Rita Zahara menerusi akaun Facebooknya berkata dia dan keluarganya kini selamat kembali ke rumahnya di republik berkenaan.

"Anak saya, adik, pembantu rumah dan saya selamat kembali ke Singapura. Ia adalah pengalaman dahsyat. Mimpi ngeri bagi setiap ibu yang anak dan orang yang disayangi diculik dan diacu senjata api. Saya tidak boleh bercerita lebih pada masa ini. Saya terlalu letih sekarang. Terima kasih untuk ucapan selamat anda," katanya menerusi akaun berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain