suria

Peminat Euro 2012 Kembali Ke Alam Kerja

PETALING JAYA: Peminat tegar kejohanan Euro 2012 yang berakhir awal pagi Isnin, dijangka mengambil cuti atau tidak muncul di pejabat.

Namun, wakil jabatan sumber manusia di beberapa syarikat multi-nasional berkata, kebanyakan pekerja mereka tiba di pejabat tepat pada waktunya walaupun kelihatan sedikit keletihan kerana berjaga untuk menyaksikan perlawanan akhir di antara Sepanyol dan Itali yang berakhir kira-kira pukul 4.30 pagi, Isnin.

Sepanyol memenangi kejohanan Euro 2012 dengan menundukkan Itali 4-0.

"Kami mempunyai banyak tugasan yang perlu disiapkan pada bulan ini. Jadi kebanyakan pekerja hadir di pejabat walaupun dalam keadaan tidak terurus. Namun, masih ada yang mengambil cuti atau mendapatkan kebenaran daripada majikan untuk bekerja dari rumah," kata Eksekutif Sumber Manusia IBM, Daniel Tan.

Daniel berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pekerja wanita yang menonton perlawanan akhir itu hadir di pejabat seperti biasa manakala pekerja lelaki mengambil cuti atau bekerja dari rumah.

"Mungkin, ini kerana jumlah cuti tahunan kami amat terhad dan pekerja wanita enggan membazirkan cuti mereka semata-mata untuk bola sepak," katanya.

Seorang Pengurus Sumber Manusia dari syarikat pembuatan elektronik terbesar berkata, dia terkejut kerana melihat jumlah pekerja yang hadir di pejabat kelihatan cergas.

"Saya rasa kebanyakan pekerja mempunyai tidur yang cukup atau mereka merakam perlawanan akhir itu dan menontonnya kemudian," katanya.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Nestle Malaysia, Zamira Yasmin Abdul Rahman berkata, tiada perubahan dalam suasana kerja di pejabatnya.

"Secara amnya, sesiapa saja datang tepat pada masanya dalam keadaan bersemangat," katanya.

Namun, keadaan lalulintas di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang yang sesak teruk setiap pagi bergerak lancar pada Isnin.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, kebanyakan majikan memberi kelonggaran kepada pekerja mereka untuk kembali bekerja seperti biasa selepas kejohanan itu.

"Amat penting bagi majikan untuk bertimbang rasa terhadap kakitangan mereka. Membenarkan mereka mengambil cuti adalah lebih baik berbanding jika mereka tidak muncul di pejabat selepas menyaksikan final Euro 2012.

"Jika pihak pengurusan dapat merancang perkara ini, ia tidak akan menjejaskan produktiviti kerja," katanya.

Artikel Lain