suria

Lebih Setengah Juta Rakyat Belum Pohon Mykad - JPN

TAIPING: Lebih 600,000 rakyat Malaysia yang layak dikesan belum memohon kad pengenalan diri MyKad.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said berkata daripada 618,410 yang dikesan, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 61,186 orang.

JPN meminta mereka yang belum berbuat demikian agar segera tampil memohon MyKad untuk kemudahan diri sendiri, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program lawatan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Simpang, di sini, Isnin.

Jariah berkata bagi menangani isu tersebut, JPN mengadakan program turun padang ke sekolah-sekolah bagi menemui pelajar dan ibu bapa selain menyediakan unit bergerak JPN untuk memudahkan orang ramai membuat permohonan MyKad.

Dalam pada itu, Jariah berkata sebanyak 456,985 MyKad bagi pemohon baharu yang telah siap belum dituntut pemohon.

"Selangor merupakan negeri tertinggi iaitu 69, 848. Kita minta pemohon yang belum mengambil kad pengenalan mereka agar hadir ke tempat yang mereka pohon untuk ambil kad pengenalan, tanpa mewakili orang lain," katanya.

Jariah berkata orang ramai juga boleh menyemak status permohonan mereka menerusi portal JPN.

MyKad yang gagal dituntut dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh siap akan dilupus, seperti termaktub dalam undang-undang, katanya.

Mengulas isu berbeza, Jariah menyangkal dakwaan pembangkang menerusi ceramah-ceramah mereka bahawa JPN memberi taraf kerakyatan kepada warga asing dalam jangka masa singkat.

Katanya setiap warga asing yang memohon taraf warganegara Malaysia harus melalui prosedur yang ketat dan status itu hanya diberi selepas JPN berpuas hati segala syarat dipenuhi. - BERNAMA

Artikel Lain