suria

Artis-Artis 'Bebal' Tidak Peka Di Majlis Seni

ADOIII

“SUDAH la tolol, bebal pula tu!” Adoiiii... bisa betul bunyi ayat tu. Gegendang telinga saya ni macam nak pecah apabila terdengar kata-kata itu dikeluarkan oleh seorang artis senior kepada saya.

Luahan rasa tidak senang itu berlaku pada Hari Himpunan Bintang MyIPO KOSMO! 2012 yang berlangsung di Hotel Renaissance, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu.

Majlis berkenaan bertujuan untuk memperjelaskan kepada para artis mengenai Akta Hak Cipta 1987 yang telah diluluskan di Parlimen pada 22 Disember tahun lalu yang antara lain bertujuan untuk membela nasib golongan berkenaan.

Tapi sayang sekali, dalam majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang penggiat seni itu ada segelintir yang tergolong dalam kumpulan “bebal” dan “tolol” ini.

Sebab itulah artis senior ini benar-benar naik angin.

Kisahnya macam ini! Majlis itu diadakan sememangnya untuk mereka.

Jadi, golongan ini seharusnya memberi tumpuan yang mendalam. Mereka wajar bertanya apa-apa juga soalan jika tidak faham.

Tapi sayang sejuta kali sayang, ketika menteri dan pihak-pihak berkenaan sedang berucap, suku daripada dewan itu menjadi kosong.

Sebabnya artis-artis bebal ini sudah keluar dewan. Kebanyakannya pergi menghisap rokok sambil berborak-borak di luar.

Ada pula yang bergelak-ketawa, bertepuk bertampar seolah-olah pada majlis jamuan Hari Raya. Mereka tidak memberi perhatian pun terhadap apa yang diperkatakan dalam dewan itu.

Inikah sikap yang bagus? Artis-artis seperti inilah dinamakan tolol. Dan tak salah untuk seorang pelakon senior tadi merungut sedemikian.

Perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa jika ada perhimpunan ilmiah seperti ini. Mereka (bukan semua) sukar untuk memberi kerjasama sedangkan majlis itu untuk menentukan masa depan hari tua mereka dalam bidang seni.

Artis-artis ini hadir sekadar mahu keluar surat khabar, nak bergaya macam bintang Hollywood dan nak tayang baju yang kelip-kelap.

Tapi daripada 500 orang yang hadir itu, kalau saya tanya apakah yang mereka faham dan mereka tahu mengenai kepentingan penganjuran majlis berkenaan, saya percaya, ramai yang akan ternganga.

Sebab itulah di negara kita, macam-macam persatuan seni ditubuhkan kononnya nak membela nasib orang itu dan ini. Tapi semuanya “hampeh”.

Sebabnya, artis-artis yang keluar masuk mesyuarat dalam persatuan tidak pernah nak faham terhadap sesuatu kepentingan atau isu yang dibawa.

Mereka tidak pernah nak ambil pengajaran dengan nasib yang sudah menimpa golongan terdahulu.

Sepatutnya golongan artis muda pada hari ini harus bersyukur dengan segala limpahan kemewahan yang telah mereka dapat dalam dunia seni.

Artis-artis dulu, walaupun glamor dan dipanggil primadona, pendapatan mereka semuanya “ciput”. Tak ada persatuan yang hendak memperjuangkan nasib mereka ketika itu.

Tak seperti hari ini apabila kerajaan menyediakan banyak peluang, kursus kemahiran dan juga dana perfileman untuk membolehkan artis-artis dan penggiat seni kita berkarya.

Apabila hal ini terjadi, saya percaya, artis-artis kita tidak boleh nak ke mana. Nak berjuang macam mana kalau artis itu sendiri tidak tahu apa yang hendak diperjuangkan? Maka akhirnya jadilah artis “keledek rebus.” Hari ini rebus, esok dah basi!

NIEZAM: Cukup cukup sudah... sedap lagu Nirwana

Artikel Lain