suria

Anggota Polis Tembak Rakan Setugas Perbuatan Jenayah - PDRM

KUALA LUMPUR: Kes seorang anggota polis menembak rakan setugasnya akibat perselisihan faham ketika menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Euro 2012 menerusi skrin besar sebuah premis hiburan di Johor Baharu awal pagi semalam merupakan satu kes jenayah.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata ini kerana kes itu melangkaui disiplin pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan boleh disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Kes itu akan disiasat oleh Polis Kontinjen Johor Baharu berdasarkan cadangan atau keputusan Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen itu sendiri," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kejadian itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan setiap pegawai dan anggota PDRM supaya bijak dan berhemah ketika menggunakan senjata api walau dalam keadaan apa sekalipun.

"Penggunaan senjata api ini tidak boleh disalah gunakan kerana ia (penggunaan senjata api) tertakluk kepada peraturan PDRM yang telah ditetapkan.

"Antaranya, pistol atau senjata api hanya diguna ketika menjalankan tugas-tugas rasmi serta perlu dipulangkan dan disimpan semula di tempat khas apabila tidak digunakan," katanya.

Dalam kejadian itu seorang konstable polis yang koma akibat terkena tembakan empat das yang dilepaskan rakan setugasnya selepas mereka berselisih faham ketika menonton perlawanan akhir bola sepak Euro 2012 antara Sepanyol dan Itali semalam. - BERNAMA

Artikel Lain