200 Warga Kerja Kuin Adakan Demonstrasi Desak Rektor Letak Jawatan - Semasa | mStar

200 Warga Kerja Kuin Adakan Demonstrasi Desak Rektor Letak Jawatan

Muhammad Azki Hafizi Ibrahim (empat, kanan) yang mewakili kira-kira 300 warga kerja Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berucap pada demontrasi mendesak Rektornya Prof Datuk Dr Jamil Osman meletak jawatan di kampus itu.
Muhammad Azki Hafizi Ibrahim (empat, kanan) yang mewakili kira-kira 300 warga kerja Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berucap pada demontrasi mendesak Rektornya Prof Datuk Dr Jamil Osman meletak jawatan di kampus itu.

ALOR SETAR: Kira-kira 200 warga kerja Kolej Universiti Insaniah (Kuin), pada Selasa membuat demonstrasi aman mendesak Rektornya Prof Datuk Dr Jamil Osman meletak jawatan.

Demonstrasi yang dinamakan 'Himpunan Aman Bersih Kuin 2.0' itu berlangsung di hadapan pejabat rektor kolej itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi dengan semua peserta berpakaian putih sebagai tanda protes.

Muhammad Azki Hafizi Ibrahim yang mewakili kumpulan tersebut dalam ucapannya berkata mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Jamil kerana mengabaikan kebajikan mereka dan pelajar.

Beliau mendakwa krisis kewangan Kuin yang berada di bawah kerajaan negeri, sangat kritikal kerana anak syarikat Kuin tidak mampu beroperasi sendiri sehingga terpaksa bergantung kepada kewangan Kuin.

Katanya desakan itu yang pertama kali dibuat pada 19 Februari lepas akan berterusan jika Jamil enggan meletak jawatan, selain memanjangkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Mereka yang yakin kemelut Kuin akan selesai jika tidak lagi diterajui Jamil, turut berharap Azizan segera mengambil tindakan memecat rektor kolej tersebut jika beliau enggan melepaskan jawatan.

Masalah warga kerja Kuin itu timbul apabila pihak Kuin gagal membuat pembayaran pemotongan gaji mereka kepada bank dan syarikat insurans walaupun gaji telah dipotong sehingga ada antara mereka dikenakan tindakan mahkamah, penarikan kereta dan polisi insurans mereka ditamatkan.

Mereka yang menghadapi masalah tersebut sejak Januari tahun ini berharap masalah pembayaran kepada pihak bank dan lain-lain melalui potongan gaji dapat diselesaikan dengan segera.

Selain itu, pengurusan Kuin turut membuat beberapa keputusan yang boleh dipertikaikan seperti menaikkan yuran secara mendadak daripada RM60 kepada RM200 satu kredit, mengenakan caj pemeriksaan kesihatan kepada pelajar baru antara RM150 hingga RM250, menaikkan yuran asrama dan mengenakan caj untuk menyemak status kemasukan pelajar, selain beberapa tindakan rektor sendiri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

139 Penumpang Terkandas Di Dalam Pesawat

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain

Gadis nyaris dirogol lelaki bogel