suria

Warga Mesir Ditahan Susulan Kes Curi RM1.17 Juta Dari Empat Mesin ATM

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Mesir pada Isnin bagi membantu siasatan kes kecurian wang tunai berjumlah RM1.17 juta dari empat mesin wang automatik (ATM) di aras 1 pasar raya Carrefour, Wangsa Maju di sini semalam.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata warga Mesir yang berumur 31 tahun itu ditahan pada 10 pagi Isnin di tempat kerjanya di salah sebuah kedai di pasar raya tersebut.

"Pemeriksaan forensik polis hari ini mendapati kumpulan yang melarikan wang ATM itu terdiri daripada enam orang, dan dipercayai kumpulan warga asing yang ada kepakaran membuka mesin ATM," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata siasatan awal polis, jenayah itu telah dirancang lebih awal kerana kumpulan itu memasuki pintu belakang pasar raya yang diperbuat daripada papan lapis serta tiada pengawal keselamatan menjaganya.

Berdasarkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV), kejadian pada jam 3.06 pagi itu dilakukan sekumpulan penjenayah yang memakai topeng muka dan menggunakan alat pencair besi (oxy-gas) bagi menebuk keempat-empat mesin ATM itu.

Khairi berkata, penjenayah itu meninggalkan sarung tangan dan beberapa bahan bukti lain di tempat kejadian.

Sementara itu jurucakap pasar raya Carrefour berkata, pihaknya akan meningkatkan kehadiran pengawal keselamatan di mesin ATM selepas waktu operasi pasar raya itu ditutup, termasuk mempertimbangkan menempatkan lebih ramai pengawal keselamatan di kawasan berdekatan mesin ATM.

Carrefour dan pihak bank juga kini sedang bekerjasama membuat penelitian dan mengkaji langkah terbaik bagi mencegah perkara tersebut daripada berulang, katanya kepada Bernama.

Sehingga kini, tujuh kes rompakan mesin ATM dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang membabitkan jumlah kerugian keseluruhan hampir RM1.8 juta.

Pada 22 Jun lepas, sekumpulan lelaki tempatan dikenali geng Oxy-gas menggunakan alat pencair besi mencuri mesin ATM bernilai RM80,000 dilarikan di pasar raya Giant, Taman Permata.

* 14 Jun, mesin ATM di Stesen Komuter Subang Jaya kerugian RM47,900 apabila dilarikan empat lelaki bertopeng menggunakan tali lebar dan kenderaan pacuan empat roda. * 1 Jun, mesin ATM di Bandar Baru Salak Tinggi kerugian RM37,520 dilarikan sekumpulan lelaki dengan menggunakan kabel. * 26 Mei, sebuah mesin ATM di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti rugi lebih RM61,000 apabila penjenayah menggunakan mesin mencairkan besi. * 25 Mei, sebuah mesin ATM di sebuah kompleks membeli-belah di Balakong, dekat sini, dilarikan dengan nilai RM200,000 setelah ia digerudi penjenayah. * 29 April, sebuah mesin ATM di di Mid Point, Ampang kerugian RM190,000 selepas diumpil oleh penjenayah.

Sementara itu, penganalisis jenayah mempersoalkan bagaimana penjenayah dapat melumpuhkan sistem penggera mesin ATM dalam beberapa kes rompakan tersebut memandangkan maklumat sistem penggera keselamatan bagi setiap mesin ATM adalah sulit.

Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim berkata hanya pemasang sistem berkenaan sahaja yang mengetahui cara untuk mematikan sistem berkenaan.

Untuk itu, pemilik premis perlu berhati-hati dan sentiasa memeriksa rekod syarikat yang terlibat dengan pemasangan sistem termasuk memeriksa rekod syarikat kawalan keselamatan, katanya dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi premis yang tidak menggunakan sistem kunci, pemilik premis harus memastikan penyelia pengawal keselamatan sentiasa melakukan rondaan dengan terperinci dan ia antara faktor yang dapat membantu mesin ATM di premis tersebut selamat.

Kamal Affendi berkata kes samun mesin ATM jarang berlaku di Malaysia, namun akhir-akhir ini ia semakin menjadi-jadi terutama bagi mesin ATM yang tersorok serta kaedah sistem panggera yang mudah dimatikan walaupun terdapat pantauan melalui CCTV.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata syarikat perbankan disaran menempatkan pengawal keselamatan bersenjata api bagi mengelakkan mesin ATM syarikat mereka dirompak terutamanya selepas waktu pasar raya beroperasi.

Beliau berkata langkah itu wajar dipraktikkan bukan sahaja melindungi keselamatan ATM mereka tetapi turut melindungi keselamatan pengguna ATM yang turut terdedah dengan ancaman rompakan selepas mengeluarkan wang dari mesin ATM. - BERNAMA

Artikel Lain