suria

Warga Emas Dipercayai Dipukul Sebelum Dicampak Ke Dalam Perigi

MELAKA: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai dipukul sebelum dicampak ke dalam perigi sedalam lapan meter di bahagian dapur rumahnya di Bukit Sebang Tampin Alor Gajah di sini malam Ahad.

Mangsa, Yau Fook San, 68, yang tinggal berseorangan di rumah setelah kematian ibunya sejak enam tahun lepas ditemui kira-kira 8 malam selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak bomba.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata polis menerima maklumat mengenai kehilangan Yau pada 4.20 petang semalam daripada kakak mangsa.

Beliau berkata mangsa tidak bekerja dan sering berulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama adik-beradiknya di ibu negara.

"Kali terakhir ahli keluarga mangsa dapat berhubung dengannya ialah pada Jumaat lepas namun gagal menghubungi mangsa pada keesokan harinya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Umar Ali Saifuddin berkata adik-beradik Yau kemudian pergi ke rumah mangsa petang semalam kerana bimbang sesuatu buruk berlaku ke atasnya.

Beliau berkata setiba di rumah itu, ahli keluarga mangsa mendapati pintu hadapan rumah berkunci sebelum masuk dan mencari mangsa di dalam bilik namun gagal ditemui.

Katanya mereka kemudian ke bahagian belakang rumah dan terlihat percikan darah berhampiran peti sejuk sebelum mencari mangsa di bahagian dapur yang turut menempatkan perigi tersebut.

"Ketika menjenguk ke dalam perigi mereka mendapati terdapat kusyen sofa menutup permukaan air perigi tersebut sebelum membuat laporan polis kerana mengesyaki sesuatu berada di dalam perigi itu," katanya.

Umar Ali Saifuddin berkata pihak polis bersama bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan mengeluarkan enam kusyen dari perigi tersebut sebelum menemui mayat mangsa.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain